Hugo Lloris akan kekal sebagai ketua pasukan Tottenham Hotspur sekalipun mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk di mahkamah pada Rabu lalu, demikian pengesahan pengurus, Mauricio Pochettino.

Juara Piala Dunia bersama Perancis itu yang sedang memandu Porsche Panamera ditahan polis pada awal 24 Ogos dan ujian penafasan terhadap tahap alkoholnya melebihi had yang sepatutnya, dua kali ganda melampaui undang-undang di England dan Wales.

Justeru, dia dikenakan larangan memandu selama 20 bulan dan didenda sebanyak £50,000 (RM271,464) oleh Mahkamah Majistret Westminster.

Sesetengah peminat dan pakar menuntut agar jawatan Lloris sebagai ketua pasukan Spurs dilucutkan berikutan pengakuan bersalahnya itu, namun Pochettino tidak berasakan perlu untuk menarik lilitan tersebut daripadanya.

Apabila ditanya dalam sidang akhbarnya menjelang pertembungan dengan Liverpool esok sekiranya Lloris masih kekal selaku kapten, Pochettino berkata: "Sudah tentu."

Bagaimanapun, Pochettino menegaskan Lloris -- yang akan terlepas perlawanan berikutnya kerana masalah paha -- akur dengan kesilapannya dan menerima hukuman ke atasnya.

"Sudah tentu, dialah orang pertama yang menyesal atas semua yang berlaku dan perkara yang telah berlaku tidak baik," kata Pochettino.

"Sudah tentu, dia tidak berasa bagus. Dia berkata dia bersalah atas keadaan ini dan ia sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

"Dia seorang yang matang tetapi saya fikir perkara paling penting adalah semua orang akan melakukan kesilapan. Dia melakukan kesalahan dan dia telah dihukum masyarakat.

"Dia menghukum dirinya sendiri tetapi sudah tentu kita bukan tuhan sampaikan kita boleh menghakimi orang. Dia memahami bahawa itu adalah satu kesilapan.

"Kemudian, kita semua adalah manusia dan kita semua akan membuat kesilapan. Ini adalah pengajaran besar untuk semua orang.

"Dia yang pertama (menerima itu adalah kesilapan), dia memberitahu saya, 'Ia adalah pengajaran yang berat buat saya, saya membuat kesilapan dan kini saya perlu menghadapinya.' Seperti mana dia seorang yang budiman, dia akur dan menerima segala-galanya."