Hugo Lloris berharap dapat mengetepikan kekalahan Tottenham kepada Liverpool selepas kesilapannya pada penghujung permainan membenarkan The Reds mengungguli takhta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Spurs dilihat hampir meraih satu mata selepas Lucas Moura menafikan jaringan pembukaan Roberto Firmino sementara Moussa Sissoko melepaskan peluang terhidang untuk memenangi perlawanan.

Tetapi Lloris gagal untuk menampan dengan cemerlang tandukan Mohamed Salah pada penghujung permainan hingga memaksa Toby Alderweireld untuk melakukan jaringan sendiri, sekali gus memberi kemenangan kepada tuan rumah.

Penjaga gol kelahiran Perancis itu mengakui bersalah di atas insiden tersebut dan berharap kembali beraksi berdepan Crystal Palace di stadium baru Rabu ini, dapat menebus kesilapannya itu.

"Sebagai penjaga gol, anda mengetahui tanggungjawab yang harus dipikul," kata Lloris.

"Sememangnya ia akan bermain di fikiran tetapi saya lega kerana kami akan mengharungi satu lagi perlawanan dalam tiga hari lagi. Ia adalah peluang untuk menebus kesilapan saya.

"Tuah tidak menyebelahi kami dan bola tidak terkena Alderweireld.

"Kami memiliki peluang untuk mencipta jaringan kedua tetapi gagal melakukannya. Kekalahan ini agak mengecewakan kami."