Liverpool tidak mampu ulangi dominasi United -- Klopp

Oleh Staff Writer 18 Januari 2020 8326
Liverpool tidak mampu ulangi dominasi United -- Klopp
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, percaya adalah mustahil untuk menyamai dominasi Manchester United ketika di bawah kendalian Alex Ferguson.

Ferguson memimpin United menjuarai 13 gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), dominasi yang bermula dari 1992-93 dan berakhir 20 tahun kemudian.

Liverpool meletakkan sasaran untuk menjuarai gelaran liga buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun dan mendahului 14 mata menjelang pertemuan dengan United di Anfield tengah malam esok.

Tetapi Klopp berasakan masa sudah banyak berubah dan sukar untuk mendominasi seperti apa yang dilakukan United sekitar 1990-an dan awal 2000 serta Liverpool pada 1970-an dan 80-an.

"Sejujurnya, saya tidak berasakan ia mampu dilakukan lagi," katanya.

"Bola sepak sudah banyak berubah. Kekuatan kelab lain sudah berubah sepenuhnya. Kami telah melakukan beberapa keputusan yang tepat -- ia adalah sebab kami beraksi cemerlang. Pasukan lain turut memiliki peluang yang sama."

Selepas menamatkan saingan di tempat kedua musim lalu serta menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL), Liverpool kini kekal tanpa kalah dalam 21 perlawanan liga.

Namun, mengakui pasukannya tidak mampu untuk mendominasi, Klopp mahu Liverpool kekal sebagai pencabar utama.

"Saya enggan mengatasi Untied dengan memenangi banyak perlawanan 4-0 atau 5-0 tetapi mereka sudah dijangka merakamkan kemenangan," katanya.

"Kami banyak menang 1-0 atau 2-1 dan berusaha untuk mendapatkannya.

"Perkara paling penting adalah kami berusaha setiap musim dan itu yang saya perlukan."



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen