Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata The Reds mungkin tidak akan berbelanja besar dalam jendela perpindahan.

Skuad kendalian Klopp itu sedang berjuang memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah selepas berbelanja besar untuk mendapatkan Alisson, Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri pada awal musim ini.

Pengendali kelahiran Jerman itu bertekad untuk mengekalkan pemain sedia ada dalam pemburuan gelaran mereka berbanding melakukan pelaburan besar.

"Saya tidak mahu bercakap tentang apa yang akan kami lakukan, namun saya tidak rasakan kami perlu berbelanja mewah buat masa ini," kata Klopp.

"Jalan terbaik untuk melakukannya adalah dengan kekal sebagai satu pasukan, cuba untuk mengembangkan mereka sebagai satu pasukan dan kekal bersama untuk tempoh yang lama.

"Itu mungkin masalah utama Liverpool sejak sedekad ini.

"Apabila mereka memiliki pasukan terbaik, mereka semua akan berhijrah ke serata dunia pada hujung musim.

"Perkara itu tidak akan terjadi tahun ini, saya pasti," katanya.

Liverpool, yang menyingkirkan Bayern Munich dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah kelmarin, akan bertandang ke laman pasukan kedua tercorot Liga Perdana Inggeris, Fulham, malam esok.

"Ia amat besar (potensi untuk berkembang)," tambah Klopp.

"Ia jelas langkah yang besar, namun kami perlu meningkatkan tahap keyakinan kami.

"Kami perlu melihat diri kami seperti mana pihak lawan melihat kami.

"Jika anda perhatikan bagaimana Bayern menentang kami di sini, saya tidak pernah melihat Bayern beraksi bertahan seperti itu.

"Apabila Manchester City bertandang ke sini, mereka melakukan perkara sama. Wow.

"Mereka amat menghormati kami, namun saya tidak pasti sama ada kami melakukan perkara sama terhadap diri kami.

"Perkara itu pasti akan tiba, secara sedikit demi sedikit.

"Disebabkan itu, saya amat gembira dengan aksi kami ketika menentang Bayern.

"Petanda itu sudah mula dapat dilihat.

"Pemain saya masih mempunyai banyak ruang untuk berkembang di setiap bahagian," katanya.