Jurgen Klopp percaya Liverpool kini di celah-celah satu sarkas apabila membabitkan pertembungan paling mencuri tumpuan dengan Manchester United malam esok sambil berpesan kepada pemain-pemainnya supaya mengabaikan gembar-gembur cerita itu.

Liverpool akan bertandang ke Old Trafford berbekalkan 17 kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut, termasuk lapan sepanjang kempen musim ini untuk menguasai puncak saingan.

United pula dijarakkan dengan 15 mata berbanding seteru ketat mereka itu untuk berada di kedudukan ke-12 selepas mengharungi prestasi buruk yang secara tidak langsung meningkatkan tekanan ke atas Ole Gunnar Solskjaer dalam musim penuh pertamanya.

Walaupun nasib tidak menyebelahi The Red Devils baru-baru ini, penganalisis menganggap tiada seorang pemain United pun yang layak untuk mengisi kesebelasan utama Liverpool, dengan Klopp sebaliknya menuduh tindakan itu kerana media mahu melihat pasukannya gagal.

Ditanya bagaimana dia mengendalikan perbincangan mengenai perlawanan berprofil tinggi itu, Klopp berkata: "Abaikan! (Formula) perlawanan ini begitu mudah, sama seperti perlawanan yang lain.

"Media Sky membuat gabungan barisan utama perlawanan dengan meletakkan 11 pemain Liverpool. Dunia pada masa ini adalah sarkas dan kami pula berada di tengah-tengahnya -- satu pihak mahu kami menang, satu pihak lagi mahu kami kalah."

Dia menambah: "Saya sukakan perlawanan ini tetapi perbincangan mengenainya terlalu diperbesarkan. Ia bahan menarik untuk media. Segala statistik dan perkara-perkara di sekelilingnya.

"Pada akhirnya, kami hanya perlu bermain bola sepak. Itu sahaja yang menjadi kebimbangan saya, ia hasil sikap yang luar biasa dan bola sepak yang benar-benar berani. Itulah yang kami perlu cuba lakukan.

"Tetapi semua perkara yang anda tulis atau katakan dalam beberapa minggu lalu tidak akan mempengaruhi perlawanan ini. Ia menjadikan mereka lebih terdesak untuk mengubah keadaan.

"100 peratus mereka pasti akan cuba melakukannya sambil kami pula akan cuba untuk memperbaiki situasi sendiri, jadi kita akan lihat pasukan manakah yang lebih menginginkannya."

Perlawanan itu juga menyaksikan buat julung kalinya sejak Oktober 1996, Liverpool berada di puncak untuk berhadapan dengan juara 20 kali itu.

Tuan rumah kehilangan pemain utama seperti Paul Pogba sementara David de Gea dan Anthony Martial dalam keraguan, namun Klopp menganggap Solskjaer mungkin cuba mengabuinya dengan ulasan yang tidak menentu mengenai kecergasan trio berkenaan.

"Empat hari lalu, saya rasa Ole ada mengatakan 'tiada peluang' buat De Gea dan Pogba. Hari ini dia berkata 'mungkin' pula, esok ia akan menjadi '100 peratus' selain Martial akan kembali.

"Itulah bagaimana semua permainan ini dibangkitkan -- saya tidak mempunyai masalah tentang itu. Saya sudah cukup tua, cukup berpengalaman untuk menilai semua perkara dengan cara yang betul."