Penjaga gol Liverpool, Adrian, memberi amaran bahawa permulaan cemerlang pasukannya tidak bermakna jika gagal mengekalkan tahap persembahan.

Pemain dari Sepanyol itu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Alisson sewaktu The Reds menewaskan Chelsea 2-1 kelmarin, sekali gus mereka selesa mendahului carta liga dengan kelebihan lima mata.

Namun, Adrian menggesa pasukannya agar terus meningkat sambil sedar juara bertahan, Manchester City, hanya menunggu masa melihat mereka tersungkur.

"Kami berjuang dan mengekalkan momentum dalam cara yang positif," katanya.

"Kami telah melakukannya dengan baik tetapi perlu meneruskannya dan terus berjuang. Kami dalam prestasi cemerlang di pentas Liga Perdana Inggeris dengan tenaga dan kemahuan.

"Dalam babak pertama berdepan Chelsea, kami lakukannya dengan baik dan saya rasa kami layak meraih tiga mata. Jelas sekali lawan cuba bangkit selepas rehat tetapi Liverpool bertahan dengan baik."

Tatkala skuad kendalian Jurgen Klopp itu meraih rekod 100 peratus di pentas liga domestik, usaha untuk mempertahankan trofi Liga Juara-Juara Eropah menyaksikan mereka tunduk 2-0 di Napoli.

Adrian berpendapat ia kekalahan yang sukar diterima tetapi mereka bangkit di Stamford Bridge di mana jaringan daripada Trent Alexander-Arnold dan Roberto Firmino cukup untuk melengkapkan kemenangan.

"Kami tewas di tangan Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara. Saya tidak fikir kami berhak menerima keputusan itu dan ia sukar buat kami. Namun, kami pulih dengan baik. Kami kembali ke England dan menang.

"Kini, kami bersatu. Kami menikmati detik ini tetapi perlu terus mara mendapatkan mata."