Andy Robertson memuji Roberto Firmino di atas peranannya ketika membantu Liverpool bangkit menewaskan Newcastle United 3-1 malam kelmarin.

Penyerang Brazil itu masuk sebagai pemain gantian sebelum waktu rehat dan membantu jaringan Sadio Mane dan Mohamed Salah ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris itu bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk memenangi perlawanan.

Pengurus pasukan, Jurgen Klopp, ingin memberikan waktu rehat lebih banyak buat ayam tambatannya itu selepas terlibat dengan dua aksi persahabatan skuad Brazil di Amerika Syarikat dalam waktu rehat antarabangsa lalu.

Namun, kecederaan buku lali Divock Origi pada minit ke-37, ketika perlawanan terikat 1-1, memaksa penyerang itu dibawa masuk dan dia membuktikannya dengan aksi cemerlang yang mendorong perubahan drastik dalam perlawanan.

"Kami gusar ketika Div dibawa keluar, harap-harap ia tidak terlalu serius tetapi dia perlu dikeluarkan waktu itu," kata pertahanan kiri berkenaan dalam laman web rasmi pasukan.

"Tetapi membawa masuk Bobby sentiasa menjadi pertukaran yang baik.

"Dia tiba lewat kerana tugasan antarabangsa dan pengurus kami memilih untuk meletakkannya di bangku simpanan.

"Dia masuk dan memaparkan kelas tersendiri serta hampir melakukan tiga atau empat bantuan jaringan.

"Dia memberikan impak yang besar dan itulah yang kami perlukan.

"Nasib baik kami dapat meraih tiga mata," katanya.

Kemenangan itu memberikan Liverpool kelebihan lima mata di depan pencabar terdekat, Manchester City, yang tewas 2-3 kepada Norwich City.

The Reds kini mengalihkan perhatian bagi menghadapi kunjungan ke Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Rabu ini.

"Ogos lebih senggang berdasarkan apa yang kami biasa lalui tetapi September dipenuhi dengan jadual padat.

"Liga Juara-Juara akan bermula Selasa ini (awal pagi Rabu) dan kami akan menaiki pesawat esok.

"Jadi, ia tentang pemulihan, kami perlu berehat dengan sebaik-baiknya dan bersedia untuk perlawanan itu.

"September bulan yang sibuk. Kami perlu melaluinya dengan hebat dan mendapatkan keputusan yang diperlukan," tambahnya.