Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan Adam Lallana masih mempunyai peranan beraksi bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu walaupun kerap kali dibelenggu masalah kecederaan.

Pemain berusia 30 tahun itu sekadar tampil tiga kali dalam kesebelasan utama musim lalu dan musim ini.

Dia terlepas kekalahan Liverpool dalam saingan Piala FA kepada Wolves, Isnin lalu, ekoran kecederaan, namun akan kembali pulih akhir bulan ini.

Dengan timbulnya spekulasi mengenai Lallana bakal meninggalkan Anfield, Klopp berkata pemain skuad England itu masih lagi diperlukan The Reds.

"Lallana berkebolehan mengubah rentak permainan serta mampu mencari ruang sebelum melakukan lorongan kepada penyerang untuk menjaringkan gol. Dia masih mampu melakukan sesuatu bersama Liverpool," kata Klopp.

"Agak sukar buat kami tanpa kehadirannya. Saya berharap kecederaannya tidak akan menggugat sehingga penghujung musim ini kerana Lallana adalah pemain yang penting."

Menjelang aksi bertemu Brighton and Hove Albio di Stadium Amex malam ini, Liverpool masih lagi berkelebihan empat mata di puncak liga.