Liverpool masih belum boleh bergelar pasukan terbaik EPL -- Solskjaer

Oleh Staff Writer 19 Januari 2020 7024
Liverpool masih belum boleh bergelar pasukan terbaik EPL -- Solskjaer
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata Liverpool bukanlah pasukan terbaik dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil merujuk kepada rekod Alex Ferguson bersama The Red Devils.

Liverpool berada di landasan untuk menjulang gelaran liga buat kali pertama sejak 1990, dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu kini mendahului 13 mata di samping berkelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Penyandang Liga Juara-Juara (UCL) itu berpeluang meningkatkan lagi peluang untuk merangkul gelaran ketika menerima kunjungan musuh tradisi, United, ke Anfield tengah malam ini.

Bagaimanapun, Solskjaer – yang menjuarai enam gelaran EPL dan satu trofi UCL ketika bergelar pemain di bawah kendalian pengurus legenda, Ferguson -- menegaskan pencapaian jangka masa panjang adalah kunci kepada kehebatan.

"Jika anda melihat jauh, pasukan-pasukan terbaik adalah yang mampu melakukannya berulang-ulang kali," kata Solskjaer.

"Tiada siapa yang mampu menyamai apa yang telah dicapai Ferguson tetapi saya mungkin yang pertama mengakui apa yang dilakukan oleh Jurgen Klopp bersama Liverpool adalah sesuatu yang menakjubkan.

"Buat masa ini, beliau mengetahui apa yang diperlukan untuk mendapatkan keputusan yang diingini, namun perjalanan masih lagi panjang dan banyak lagi perlawanan yang perlu dihadapi.

"Jika anda melihat kepada Liverpool sekarang, mereka telah merakamkan 33 kemenangan dan lima seri daripada 38 perlawanan terakhir mereka. Itu memberikan 104 mata, jadi ia mampu menjadi lebih daripada sekadar satu musim yang baik.

"Mereka beraksi dengan cemerlang dan mungkin memenangi 'treble' musim ini tetapi mari kita lihat pada bulan Mei nanti. Mereka bakal berdepan beberapa perlawanan sukar."

United kini di tangga kelima, lima mata di belakang penghuni tangga keempat, Chelsea, dan ketinggalan 27 mata kepada Liverpool.




Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen