Pep Guardiola mengisytiharkan Liverpool sebagai "lawan terkuat pernah dihadapi sepanjang karier sebagai pengurus" selepas Manchester City kehilangan mata dalam persaingan mengejar gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

City menyasarkan gelaran EPL ketiga berturut-turut, namun kekalahan mengejut 3-2 kepada Norwich City -- kekalahan pertama sejak Januari lalu –- menyaksikan mereka ketinggalan lima mata kepada skuad kendalian Jurgen Klopp itu, yang meraih lima kemenangan daripada lima perlawanan bagi musim 2019-20.

Musim lalu, City berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenangi sebelumnya selepas menamatkan saingan dengan 98 mata sementara Liverpool sekadar ketinggalan satu mata dan Guardiola menyifatkan The Reds sebagai lawan terkuatnya sepanjang bergelar pengurus.

Bercakap menjelang pertemuan berdepan Watford, bekas pengendali Barca dan Bayern Munich itu berpandangan skuad Liverpool kendalian Klopp itu berada di tahap terbaik.

"Anda perlu memahami apa yang kami lakukan sebelum ini tidak menjamin hari esok dan seterusnya," kata Guardiola.

"Lawan kami, Liverpool, dan telah saya katakan sebelum ini, adalah yang paling sukar pernah saya hadapi sebagai pengurus.

"Ini bukanlah kata-kata kosong. Saya berkata ketika mereka mendahului saingan, saya berkata ketika kami mendahului saingan; ketika kami menang dan tewas.

"Mereka kini mendahului segala-galanya. Corak permainan, serangan balas, situasi bola mati, menyerang, bertahan dan mentaliti. Stadium Anfield pula seperti kubu mereka.

"Saya menyedari ia sukar tetapi inilah cabaran yang perlu kami hadapi."

Guardiola kini tanpa khidmat pertahanan tengah, Aymeric Laporte dan John Stones, yang mengalami kecederaan paha dan hanya akan kembali bulan depan.

Ini bermakna mereka terpaksa mengerah kudrat pemain tengah bertahan, Fernandinho, bertindak sebagai pertahanan bergandingan dengan Nicolas Otamendi ketika merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Shakhtar Donetsk.