LIVERPOOL 3 ARSENAL 1

Jurgen Klopp gembira di atas persembahan skuad kendaliannya selepas berjaya mengatasi Arsenal 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi tetapi berkata mereka bukanlah "Disneyland" dan tidak perlu sentiasa mempamerkan permainan menarik.


Tandukan Joel Matip dan dua gol daripada Mohamed Salah membenarkan The Reds merakamkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan EPL.

Liverpool, bagaimanapun, bergelut pada penghujung permainan selepas Lucas Torreira menjaringkan gol sagu hati buat The Gunners tetapi Klopp percaya pasukannya harus diberikan pujian menerusi cara mereka mendominasi permainan selama 80 minit.

"Kami bukanlah Disneyland; kami tidak perlu sentiasa memberikan keterujaan kepada semua sepanjang masa," kata Klopp kepada Sky Sports.

"10 minit terakhir permainan seimbang buat kedua-dua pasukan tetapi sepanjang 80 minit kami berjaya mengawal Arsenal.

"Ia merupakan persembahan yang baik buat pasukan saya untuk permulaan musim ini. Aksi yang penuh tenaga, berkuasa, dan semangat. Ia amat diperlukan ketika berdepan Arsenal," ujarnya.



"Kami agak terkejut dengan sistem permainan Arsenal tetapi kami berjaya menyerap tekanan yang telah diberikan."

Di sebalik kemenangan itu, Klopp kecewa kerana dibolosi pada penghujung permainan tetapi berkata ia tidak akan menjejaskan kemenangan Liverpool.

"Saya lebih gembira jika menamatkan perlawanan tanpa dibolosi, namun ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Mereka merupakan pasukan yang berkualiti."