Ketua pasukan Manchester City, Vincent Kompany, percaya pencabar terdekat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, akan memenangi kesemua baki perlawanan mereka.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu mendahului EPL dengan kelebihan satu mata dengan baki lapan lagi perlawanan musim ini.

City telah memenangi 24 daripada 30 perlawanan liga kempen ini sementara Liverpool meraih 22 kemenangan setelah mengalahkan Burnley 4-2 awal pagi tadi.

Kompany, yang pasukannya menyasarkan untuk mempertahankan gelaran itu, berasakan The Reds akan meneruskan momentum sempurna bagi baki saingan musim ini.

"Kami tidak boleh mengharapkan sesuatu lebih banyak lagi di peringkat musim ini tetapi kami yakin Liverpool akan memenangi setiap baki perlawanan musim ini," katanya kepada pemberita.

"Kami tahu betapa besarnya tugas di hadapan kami kerana masih ada perlawanan penting dengan pertembungan sukar. Tetapi kami tetap tenang dan tidak terbawa-bawa."

Raheem Sterling mengetuai City untuk melakar kemenangan terakhir mereka dengan meledak hatrik dalam kemenangan 3-1 ke atas Watford, semalam.

Kompany percaya pemain berusia 24 tahun itu yang menyumbang 15 gol dan sembilan bantuan gol itu dalam 27 perlawanan liga musim ini merupakan salah seorang pemain terbaik dunia.

"Dia mempunyai impian yang hebat untuk terus mempamerkan peningkatan. Ia sesuatu yang luar biasa memandangkan dalam tahun pertamanya di City, dia bergelut tetapi sejak Pep tiba, dia menemui permainan terbaiknya dan dan semakin menyinar," katanya.

"Bagi saya, dia adalah salah seorang pemain sayap terbaik di dunia. Kemampuannya mengucar-kacirkan musuh yang gemar bertahan merupakan petanda bahawa dia benar-benar seorang pemain handalan," ujarnya.