Wira West Bromwich Albion, Jake Livermore, memuji semangat tidak berputus asa yang ditampilkan pasukannya selepas jaringannya pada waktu kecederaan ketika menentang Tottenham Hotspur membolehkan mereka masih berpeluang kekal dalam Liga Perdana Inggeris.

West Brom kini tidak kalah dalam lima perlawanan di bawah bimbingan jurulatih sementara, Darren Moore, apabila mencatat tiga kemenangan dalam laluan yang turut menampilkan Manchester United dan Liverpool.

Beraksi di laman sendiri memperlihatkan The Hawthorns tertekan tetapi mereka meraih ganjaran besar menerusi gol kemenangan Livermore pada minit ke-92 perlawanan.

“Kami hanya mahu berjuang sehingga ke detik terakhir,” katanya kepada BBC.

“Ia tidak datang daripada usaha yang sedikit dan beberapa perlawanan terakhir telah membuktikannya.

“Kami kembali meraih semangat tidak berputus asa dan anda tidak akan tahu apa yang kami boleh lakukan. Sukar apabila melihat ke carta liga tetapi kami mencuba daripada setiap perlawanan.

“Moore dan semua pembantunya memberikan makna besar buat kami dan mereka sentiasa bersama kami.”

Keputusan seri 1-1 yang dicatat Southampton ketika bertemu Everton pada awal pagi tadi menyaksikan West Brom masih berpeluang untuk kekal dalam liga utama England, dengan syarat perlu menang dalam aksi terakhir sambil mengharapkan skuad kendalian Mark Hughes itu tewas dalam baki dua perlawanan.