SOUTHAMPTON 1 WATFORD 1

Pengurus Southampton, Mark Hughes, berkata Liga Perdana Inggeris akan kekal di zaman gelap tanpa sistem video bantuan pengadil (VAR), musim ini.


Skuad kendalian Hughes itu terpaksa menanggung keputusan 1-1 dengan Watford selepas gol lewat permainan daripada Jose Holebas menafikan jaringan pendahuluan Manolo Gabbiadini.

Namun, kontorversi terbit sebelum jaringan penyamaan itu apabila jaringan Charlie Austin tidak dikira pengadil, Simon Hooper, dengan menyangka Maya Oshida yang berada dalam kedudukan ofsaid melakukan sentuhan terhadap percubaan tersebut.

Austin mengkritik keputusan itu selepas tamat perlawanan dan Hughes turut memberikan pandangan sama dalam satu temu bual bersama Sky Sports.

"Ia (VAR) perlu berada di sini, saya amat pelik mengapa ia masih tidak diperkenalkan tahun ini," kata Hughes dalam sidang media.

"Semua kejohanan lain sudah menggunakannya, semua sukan mempunyai bantuan video.

"Itu menunjukkan Liga Perdana masih berada dalam zaman gelap," katanya lagi.

Hooper tidak memiliki pengalaman di peringkat tertinggi dan Hughes menegaskan Badan Penyelia Pegawai Perlawanan Profesional (PGMOL) tidak sepatutnya meletakkan dia dalam perlawanan berprofil tinggi seperti itu.

"Kami diberikan pengadil yang tidak berpengalaman hari ini.

"Dia hanya mengadili empat perlawanan sebelum ini.

"Bagi kami, perlawanan itu setaraf dengan pertembungan Manchester di antara City dan United.

"PGMOL tidak sepatutnya menyediakan pengadil seperti itu kerana ia merupakan perlawanan yang amat penting bagi kami.

"Amat sukar dengan kehadiran pengadil yang tidak memenuhi piawaian itu dalam perlawanan kami.

"Setiap yang menyaksikan insiden itu pasti akan bersetuju dengan apa yang saya katakan," tambahnya.