Lelaki dipenjara 10 tahun selepas cuba rompak Ozil, Kolasinac

Oleh Staff Writer 9 November 2019 174
Lelaki dipenjara 10 tahun selepas cuba rompak Ozil, Kolasinac
Seorang lelaki dipenjarakan 10 tahun selepas melakukan percubaan untuk merompak pemain Arsenal, Mesut Ozil dan Sead Kolasinac.

Ashley Smith, 30, mengaku bersalah melakukan percubaan rompakan bersenjata dan memiliki ganja ketika tiba di Mahkamah Mahkota Snaresbrook menerusi pautan video Ahad lalu.

Dia dijatuhkan hukuman itu di Mahkamah Mahkota Harrow awal pagi tadi.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan salah seorang suspek mengancam Kolasinac dengan objek tajam ketika mahu merompak jam tangannya.

Pemain kebangsaan Bosnia-Herzegovina itu menentang kedua-dua penjenayah berkenaan sebelum dia bersama rakan sepasukannya, Ozil, yang ketika itu berada di dalam kereta bersama isterinya, memandu ke sebuah restoran di Golders Green sebelum membuat laporan polis.

Polis Metropolitan berkata bukti utama kejadian itu didapati selepas motosikal yang digunakan dalam rompakan itu ditemui di sebatang jalan mati di Borehamwood hasil maklumat orang awam.

Rakaman CCTV daripada kelab malam berdekatan turut memaparkan penjenayah itu menukar pakaian selepas insiden berkenaan, di mana pakaian itu kemudian ditemui di kawasan semak berhampiran.

"Kami berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan," kata Ketua Inspektor, Jim Corbett, dalam satu kenyataan Polis Metropolitan.

"Mereka yang terbabit dengan jenayah samun bermotosikal perlu melihat dan memilih sama ada mereka mahu menghabiskan sebahagian hidup mereka di penjara kerana ia adalah mesej yang cuba disampaikan daripada perbicaraan ini.

"Penjenayah berasakan kami tidak akan dapat mengenal pasti mereka selepas memakai topi keledar dan kelengkapan menunggang motosikal tetapi kami boleh dan akan melakukannya seperti yang dibuktikan dalam kes ini.

"Saya mahu berterima kasih kepada orang ramai yang tampil untuk memberikan maklumat penting.

"Ia menunjukkan satu panggilan boleh mendatangkan perubahan, dalam apa jua jenayah.

"Juga buat pasukan saya yang telah bekerja keras untuk memastikan keadilan ini," katanya.

Ozil dan Kolasinac terlepas perlawanan pembukaan musim di antara Arsenal dan Newcastle United kerana masih trauma dengan insiden itu.

Kolasinac telah melakukan 11 penampilan buat Arsenal dalam kesemua kejohanan musim ini manakala Ozil hanya beraksi dalam empat perlawanan.

Kedua-dua pemain itu disenaraikan menjelang kunjungan ke laman Leicester City bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi esok.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen