Leicester sahkan tolak dua tawaran buat Maguire

Oleh Staff Writer 17 Julai 2019 5192
Leicester sahkan tolak dua tawaran buat Maguire
Leicester City telah menolak dua bidaan buat pemain yang menjadi sasaran Manchester United dan Manchester City, Harry Maguire, kata pengendali pasukan, Brendan Rodgers.

Bintang England, Maguire, telah menarik perhatian dua kelab Manchester dan United dikaitkan dengan bek berusia 26 tahun itu sejak era Jose Mourinho lagi setahun lalu.

Perjanjian tidak dicapai dan pertahanan itu akhirnya menandatangani kontrak baru selama lima tahun pada September 2018.

Bagaimanapun, United dikatakan kembali berminat dan Rodgers mendedahkan semalam bahawa kelabnya telah menolak dua tawaran buat pemain itu yang dinilaikan GBP80 juta (RM408 juta).

Menerusi penerbitan Leicester Mercury selepas Maguire beraksi selama 45 minit dalam aksi pra-musim berdepan Scunthorpe United, Rodgers berkata: "Ia sangat mudah dan kami tenang mengenainya.

"Maguire adalah pemain bertaraf dunia. Sudah tentu dia menarik perhatian dengan dua bidaan tetapi ia tidak mencapai penilaian kelab.

"Dia tenang mengenainya dan begitu juga kami. Dia begitu cemerlang dan saya harus menambah kerana  saya pernah melalui situasi sama beberapa kali. Ia boleh menjadi sukar buat pemain tetapi Maguire sangat istimewa."

Laporan mengatakan Maguire telah memberitahu pihak kelab mengenai keinginannya untuk berpindah tetapi Rodgers tidak mahu memberikan sebarang kenyataan mengenainya.

"Sebarang perbualan saya dan pemain adalah peribadi," tambah Rodgers.

"Jika pasukan seperti City dan United berminat, saya faham.

"Kami tenang kerana selagi penilaian tidak dicapai, tiada keputusan perlu dibuat."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen