Majlis makan malam Kelab Penyokong Manchester United (United Malaysia) di Kota Kinabalu, malam tadi berlangsung meriah apabila hampir 2,000 penyokong kelab berkenaan hadir, termasuk dari Brunei.

Program tahunan United Malaysia yang kali keempat diadakan itu turut diserikan dengan kehadiran bekas pemain kelab berkenaan, Ronny Johnsen.

"Saya pernah beberapa kali datang ke Malaysia, namun di Sabah merupakan kali pertama.

"Ia sentiasa seronok apabila dapat kembali ke Malaysia dan saya lihat sokongan di sini bukan saja masih hangat, malah semakin berkembang.

"Pastinya United akan mengharungi satu lagi musim yang menyeronokkan dan mencabar tetapi kita perlu terus percaya, jadi teruskan sokongan luar biasa anda di Malaysia," katanya.

Johnsen pernah bermain untuk United dari tahun 1996 hingga 2002 dan bekas pertahanan itu juga merupakan antara pemain yang memenangi gelaran 'treble' (Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah) pada 1999.

Sementara itu, Presiden United Malaysia, Batholomew Jinggulam, ketika ditemui berkata ia satu kejayaan besar buat kelab penyokong itu apabila dapat menerbangkan legenda United itu ke Sabah.

"Dua tahun lalu, saya berjanji kepada ahli kelab akan membawa David May ke Sabah tetapi malangnya ia tidak menjadi kenyataan, namun tahun ini, Johnsen ada bersama dengan kita," katanya.

Terdahulu, seramai lapan individu bakal merealisasikan impian mereka untuk menyaksikan perlawanan United di Old Trafford apabila memenangi cabutan bertuah dalam majlis makan malam itu.

Setakat ini, United Malaysia telah menerbangkan lebih 400 penyokong ke 'Theatre Of Dreams' sejak kelab itu mula ditubuhkan lebih empat tahun lalu.