Aymeric Laporte cemburu melihat pasukan kebangsaan Perancis memenangi Piala Dunia selepas disisihkan daripada skuad kendalian Didier Deschamps itu.

Pertahanan Manchester City itu merupakan antara nama yang tidak dibawa ke Russia tatkala dia tidak pernah melakukan penampilan buat Les Bleus walaupun disenaraikan ketika aksi persahabatan pada Mac lalu.

Pemain pertahanan berusia 24 tahun itu juga layak untuk beraksi buat Sepanyol dan dia menjelaskan agak sukar untuk melihat Perancis berjaya tanpanya.

"Secara jujur, saya berasa cemburu," kata Laporte.

"Keputusan telah dibuat dan anda hanya perlu menerimanya, itulah bola sepak.

"Saya tidak disenaraikan, itu tidak mengejutkan. Saya tidak berada dalam pasukan sebelum itu tetapi saya tetap terkilan ketika senarai diumumkan dan nama saya tidak ada.

"Saya mengharungi musim panas yang baik. Terdapat banyak masa diluangkan bersama keluarga dan rakan-rakan. Saya gembira dapat kembali ke rumah setelah melalui musim yang getir."

Laporte kini yakin tentang kehidupannya bersama City selepas membantu pasukan menjuarai liga pada musim lalu serta menjulang trofi Piala Liga.

"Saya melalui tempoh enam bulan yang menarik di sini. Kami menjuarai dua trofi dan jelas sekali kami memenangi banyak perlawanan.

"Pastinya lebih baik jika kami dapat melangkah jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah tetapi kami akan cuba melakukannya pada musim ini.

"Saya rasa sejak tiba di sini, saya berada dalam kesebelasan utama. Saya akan cuba untuk mengekalkannya dan jika kami memenangi perlawanan, saya berharap dapat melakukannya. Semua orang mahu beraksi dan saya akan berusaha.

"Guardiola adalah pengurus terbaik di dunia. Dia sentiasa mencari jalan untuk membantu dan meningkatkan permainan saya. Ya, dia meminta pelbagai perkara tetapi itu tidak menakutkan. Corak permainannya membuat saya gembira," ujarnya.