Frank Lampard menjelaskan dia akan berusaha untuk memberikan "setiap peluang yang hadir" untuk menurunkan penyerang Chelsea, Tammy Abraham, berdepan Aston Villa awal pagi esok.

Pemain berusia 22 tahun itu digantikan pada separuh masa ketika seri dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Valencia hujung bulan lalu ekoran kecederaan pinggul.

Sejak itu, dia telah terlepas kekalahan 1-0 di laman sendiri kepada West Ham ketika The Blues gagal menjaringkan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kali sejak minggu pembukaan musim.

Bagaimanapun, mereka dijangka diperkuatkan dengan kehadiran penjaring terbanyak pasukan ketika berdepan Villa awal pagi esok.

"Kami akan memberikannya setiap peluang untuk kembali cergas," kata Lampard.

"Dia masih lagi mengalami kesakitan di bahagian pinggul, kami akan membuat keputusan sebelum perlawanan. Kecederaan yang dialami menggugat pergerakannya.

"Abraham turut mahu kembali bersama pasukan dan kami mencuba yang terbaik dengan memberikannya masa tetapi jika dia tidak dapat diturunkan, kami akan memilih jalan yang berbeza."



Pemain tengah, Ross Barkley, dijangka diketepikan sekali lagi, dengan pemain kebangsaan England itu tidak dapat diturunkan bersama Chelsea sejak dua bulan lalu ekoran kecederaan buku lali.

Kebangkitan pemain berusia 25 tahun itu direncatkan dengan masalah kesihatan manakala pertahanan, Antonio Rudiger, masih belum bersedia untuk kembali beraksi daripada kecederaan paha.

"Barkley kurang sihat," tambah Lampard.

"Kesihatannya masih belum di tahap terbaik dan tidak sempat untuk beraksi."