Frank Lampard mengesahkan beliau sedang berbincang untuk menjadi pengurus baru Derby County.

Berikutan persaraannya sebagai pemain pada Februari 2017, legenda Chelsea itu jelas berhasrat untuk beralih ke kancah kejurulatihan dan dipercayai menjadi pesaing utama untuk mengambil alih jawatan di Pride Park.

The Rams sedang mendapatkan pengganti kepada Gary Rowett berikutan penghijrahannya ke Stoke City minggu ini.

Rowett mengetuai kelab itu untuk bermain dalam Liga Kejuaraan, namun kekalahan di peringkat separuh akhir play-off kepada Fulham mempercepatkan lagi proses perpindahannya lalu membuka jalan kepada Lampard untuk mengambil langkah pertamanya di dalam pengurusan.

"Ada minat daripada Derby, saya telah bercakap dengan mereka, saya bercita-cita tinggi dan mahu menjadi pengurus," kata pengurus berusia 39 tahun itu kepada BT Sport, di mana dia bekerja sebagai penganalisis bola sepak.

"Derby sebuah kelab besar dengan sejarah dan tradisi hebat, itu yang saya gemari. Kami akan terus berunding dan kita akan lihat hasilnya nanti."

Lampard, banyak menghabiskan tempoh kariernya sebagai pemain di Stamford Bridge dan bakal menjadi bekas pemain antarabangsa England kedua daripada era moden yang bergelar pengurus berikutan pelantikan Steven Gerrard dalam Liga Perdana Scotland bersama Rangers.