Lampard redakan khabar angin ke Chelsea 

Oleh Staff Writer 12 Februari 2019 2404
Lampard redakan khabar angin ke Chelsea 
Frank Lampard meredakan spekulasi yang mengaitkannya akan kembali ke Chelsea sambil menegaskan bahawa dia hanya memberi tumpuan kepada Derby County meskipun disebut-sebut sebagai calon ideal untuk menggantikan Maurizio Sarri.

The Blues dibelasah 6-0 di Manchester City semalam -- kekalahan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan mereka tergelincir ke tangga keenam.

Bagi Sarri, ia merupakan kekalahan terbesar dalam kerjaya pengurusannya sehingga mencetuskan persoalan mengenai masa depannya.

Bahkan, pengurus berbangsa Itali berkenaan ketika sidang akhbar selepas perlawanan mengakui jawatannya berdepan risiko.

Adalah tidak mengejutkan apabila Lampard diangkat sebagai calon pilihan untuk menduduki kerusi panas itu sekiranya Sarri diarah meninggalkan Stamford Bridge, namun penjaring sepanjang zaman Chelsea itu berharap Sarri mampu mengubah nasib pasukan berkenaan. 

"Berkenaan dengan kekalahan Chelsea, ia memberi kesan kepada saya dan ia sesuatu yang tidak bagus," kata bekas pemain England itu kepada media semalam. 

"Ia kekalahan yang jarang berlaku ke atas Chelsea. Jadi, apabila ia terjadi, ia adalah satu kejutan tetapi usah lupa, mereka menghadapi Manchester City yang mantap -- dan saya juga mempunyai tempoh yang baik di sana sebagai pemain.

"Ramalan penjudi tidak semestinya tepat buat pengurus baru, jadi saya tidak teruja mengenainya. Chelsea sebuah kelab yang saya hormati dan mereka memiliki pengurus yang saya hormati. Saya sedang menggalas tugas di sini (Derby) dan saya bekerja sangat keras.

"Saya memberi tumpuan penuh untuk aksi bertemu Ipswich Town awal pagi esok -- saya berharap Chelsea akan kembali menemui rentak dan mengubah nasib mereka."

Derby kini menduduki tangga ketujuh menjelang kunjungan ke kelab bawahan, Ipswich, manakala The Rams akan menghadapi Brighton & Hove Albion dalam pusingan kelima Piala FA, Sabtu ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen