Frank Lampard percaya Liga Perdana Inggeris bukanlah tempat tebaik untuk penggunaan video bantuan pengadil (VAR) selepas teknologi itu membenarkan Watford memperoleh sepakan penalti pada lewat permainan ketika Chelsea meraih kemenangan 2-1 di Vicarage Road awal pagi tadi.

The Blues merekodkan kemenangan kelima dalam liga musim ini untuk melonjak ke tangga ketiga dengan Tammy Abraham dan Christian Pulisic muncul penjaring dalam babak berbeza.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menghadapi waktu getir pada lewat permainan apabila Gerard Deulofeu menjaringkan gol sepakan penalti.

Sepakan penalti itu dibenarkan selepas penggunaan VAR walaupun pengadil, Anthony Taylor, terlebih dahulu menafikannya.

Penilaian VAR mendapati Jorginho mengasari Deulofeu walaupun ia hanya dilihat sebagai sentuhan minimum.

Chelsea kental bertahan walaupun penjaga gol, Kepa Arrizabalaga, terpaksa menyelamatkan tandukan penjaga gol The Hornets, Ben Foster, yang berpunca daripada sepakan percuma.

Lampard, bagaimanapun, berang apabila VAR membenarkan Watford kembali menghidupkan peluang dalam perlawanan itu.

"Saya berada dalam mesyuarat pengurus pada petengahan minggu ini dan kami banyak berbincang mengenainya.

"Kegusaran utama setiap pengurus, pengadil dan Liga Perdana adalah apa-apa keputusan atau sepakan penalti -- apa yang saya dengari daripada mesyuarat itu -- tidak akan berubah melainkan ia amat jelas dan nyata, dan VAR nampak apa yang pengadil tidak nampak di lapangan.

"Ia tidak berlaku hari ini, tiada yang jelas mengenainya (sepakan penalti itu), dan semakin lama ia berlarutan, ia semakin menggusarkan saya.

"Saya amat-amat terkejut selepas kembali daripada mesyuarat itu dan mendapat keputusan seperti ini," katanya.

Ketika Chelsea menewaskan Burnley 4-2 hujung minggu lalu, skuad kendalian Lampard itu dihadiahkan sepakan penalti, namun VAR mengubah keputusan itu dengan Callum Hudson-Odoi turut dilayangkan kad kuning kerana melakukan simulasi.

"Saya mengambil situasi Hudson-Odoi minggu lalu sebagai contoh.

"Dia dijatuhkan dari belakang dan dilayangkan kad kuning dan situasi itu berubah menjadi yang sebaliknya.

"Kita bukanlah tempat terbaik untuknya, bukankah begitu?

"Apa-apa sahaja perkara yang mereka mengambil masa yang terlalu lama menunjukkan mereka tidak pasti mengenainya.

"Jadi, mengapa kita tidak menggunakan skrin besar di tepi padang?" soalnya.

Lampard menambah: "Kita berada di kedudukan yang bahaya dan anda perlu melambung duit syiling setiap minggu untuk melihat keputusan apa yang anda akan terima."