Ole Gunnar Solskjaer berdepan kritikan yang amat keras sejak dilantik sebagai pengurus Manchester United, kata ketua jurulatih Chelsea, Frank Lampard.

Pengendali berbangsa Norway itu mengambil tanggungjawab selaku pengurus sementara Disember lalu selepas pemecatan Jose Mourinho dan meraih 14 kemenangan daripada 17 perlawanan pertamanya.

Namun, prestasi United kian merudum selepas dia ditawarkan jawatan tetap dan menamatkan musim 2018-19 dengan hanya satu kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir.

Keadaan itu mengakibatkan pemilihannya menjadi pertikaian.

Menjelang perlawanan pembukaan Chelsea di Old Trafford esok, Lampard menegaskan kritikan ke atas Solskjaer itu adalah sesuatu yang tidak adil.

"Saya menyedarinya dan ia datang dengan tanggungjawab itu," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Ia boleh terjadi kepada semua yang terlibat dalam bola sepak.

"Saya fikir ia terlalu keras kerana ia sesuatu yang perlu dilaluinya.

"Anda perlu melihatnya musim ini dan apa yang dia mampu lakukan.

"Saya tidak terlalu menghiraukan perkara-perkara seperti itu," katanya.

Seperti United, Chelsea juga mencuri tumpuan sebelum sepak mula musim ini apabila kehilangan pemain bintang, Eden Hazard, kepada Real Madrid.

Tetapi Lampard, yang tugasnya disukarkan dengan sekatan dua jendela perpindahan Chelsea, memandang kepada peluangnya untuk mengelakkan kritikan seperti itu, bermula dengan menewaskan United malam esok.

"Saya gemar untuk mendengar ramalan ketika kami tidak berada di kedudukan empat teratas dan tiada apa yang lebih baik berbanding membuktikan yang mereka silap.

"Saya gemar beraksi di old Trafford.

"Ia merupakan perlawanan besar buat kedua-dua pasukan.

"Kami merupakan dua kelab besar yang telah memperoleh pelbagai kejayaan.

"Kami mempunyai pemikiran yang sama dan mahu berjaya.

"Kami mahu bersaing," katanya.

Chelsea menamatkan musim lalu dengan 26 dan 25 mata, masing-masing di belakang Manchester City dan Liverpool, namun Lampard meletakkan sasaran yang tinggi dalam kempen Liga Perdana pertamanya selaku pengurus.

"Manchester City dan Liverpool membuktikan terdapat jurang di antara kami, semua orang perlu menyedarinya.

"Kami menyasarkan kemenangan dan sudah pasti mahu menyertai Liga Juara-Juara Eropah setiap tahun.

"Kami realistik dan perlu berusaha sedaya-upaya.

"Jurang itu mampu dicapai kerana ia adalah bola sepak.

"Salah satu keindahannya adalah anda akan bermula semula dari asal," katanya lagi.

Lampard turut mengesahkan dia akan melakukan keputusan saat-saat akhir sama ada akan menurunkan N'Golo Kante, Willian and Antonio Rudiger, yang masih belum cergas sepenuhnya, di Old Trafford.