CHELSEA 1 NEWCASTLE UNITED 0

Pengurus Chelsea, Frank Lampard, mengakui tahap kecederaan Ross Barkley "kelihatan agak buruk" tetapi dia sedang menunggu penilaian doktor esok.


Barkley terpaksa dikeluarkan apabila terhincut-hincut selepas 43 minit permainan dalam kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United dalam Liga Perdana Ingggeris (EPL) itu sebelum digantikan oleh Mateo Kovacic.

Pemain antarabangsa England itu, yang menggantikan posisi N'Golo Kante yang tercedera, dijangka menjalani ujian imbasan sebelum bertandang ke Ajax bagi pertemuan Liga Juara-Juara (UCL), Khamis ini.

Cesar Azpilicueta turut mengalami kecederaan ringan di peringkat akhir permainan, namun pengurus itu berharap pertahanan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Bercakap selepas perlawanan, yang menyaksikan Marcos Alonso muncul wira menerusi gol tunggal perlawanan pada minit ke-73, Lampard memberitahu pemberita: "Saya fikir Azpi dalam keadaan baik-baik saja, dia tidak mengatakan apa-apa ketika keluar padang.

"Ross pula terseliuh kakinya, ia kelihatan agak buruk pada pandangan pertama tetapi doktor mahu menilainya esok. Selain itu tiada apa-apa lagi."

Apabila ditanya sama ada pemain-pemain itu boleh menghadapi Ajax, jawabnya: "Saya tidak tahu lagi, kami akan menilainya esok."

Kemenangan itu merupakan yang kelima berturut-turut buat The Blues dalam semua pertandingan bagi melonjakkan mereka ke tangga keempat liga selepas sembilan perlawanan.