Frank Lampard tidak menolak Chelsea berdepan cabaran untuk menamatkan Liga Perdana Inggeris di kedudukan enam teratas berdasarkan situasi terkini.

Pasukan itu hanya meraih lima mata daripada empat perlawanan pertama musim ini dan menduduki tangga ke-11 menjelang kunjungan ke laman Wolves malam ini.

Wolves, Leicester City dan Everton merupakan antara kelab yang boleh menjadi pesaing untuk merebut enam tempat teratas musim ini dan Lampard menjangkakan pasukannya perlu bekerja keras.

"Ya, mereka boleh (menjadi pencabar). Mereka boleh melakukannya kerana sebelum ini anda dapat menentukan empat pasukan teratas sejak awal musim tetapi sekarang tidak lagi," katanya kepada akhbar United Kingdom (UK).

"Anda tidak dapat menentukan enam pasukan teratas kerana dengan keadaan perlawanan sekarang, di mana kesemua pasukan melakukan pelaburan yang besar, anda perlu menghormati mereka.

"Mereka adalah pasukan yang diuruskan dengan baik, mereka memiliki pemain yang baik, mereka amat kompetitif.

"Tidak ada perlawanan mudah dalam Liga Perdana Inggeris.

"Kami telah melihat perubahan itu sebelum ini kerana saya masih ingat, musim lalu ramai yang bercakap mengenai Everton dan Leicester.

"Dan Wolves sudah pasti memiliki kebolehan mereka sendiri untuk bersaing merebut enam tempat teratas dan saya rasakan itulah keadaan terkini," katanya.

Ia membentuk cabaran khusus buat Chelsea, yang berdepan sekatan perpindahan pemain dan kehilangan Eden Hazard kepada Real Madrid.

"Kami sentiasa mahu menjadi kompetitif tetapi kami amat jujur dengan situasi di sini.

"Eden berpindah, dan dua pemain nombor 9 (Gonzalo Higuain dan Alvaro Morata) turut berpindah.

"Mereka adalah pemain nombor 9 sepanjang musim lalu.

"Kami perlu mengharapkan pemain muda," tambahnya.