Pengurus Chelsea, Frank Lampard, menempelak Jose Mourinho yang mengkritik pemilihan pasukannya dalam kekalahan 0-4 kepada Manchester United.

Perlawanan kompetitif pertama yang dikendalikan bekas tonggak tengah The Blues itu di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir dengan kekalahan di Old Trafford, awal pagi tadi, di mana Marcus Rashford mencetak nama selaku penjaring di samping Anthony Martial dan Daniel James.

Bertugas selaku pengkritik untuk Sky Sports, bekas pengurus Chelsea itu mengkritik pemilihan Lampard dengan mengatakan pemain yang lebih berpengalaman seperti N'Golo Kante, Marcos Alonso dan Olivier Giroud sepatutnya memulakan permainan sambil mempersoalkan persembahan Mason Mount, Tammy Abraham dan Andreas Christensen.

Lampard terkejut dengan ulasan bekas mentornya itu dengan mengatakan faktor kecederaan telah memberi kesan kepada pemilihan kesebelasannya sempena aksi pembukaan musim itu.

"Dia tidak sukakan persembahan Mount, apakah itu yang diperkatakan beliau? Wau," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya tidak boleh mengheret pemain keluar dari bilik rawatan untuk memaksa mereka beraksi, tidak kiralah mereka berpengalaman atau tidak. Jadi, inilah barisan pemain cergas untuk perlawanan ini dan jelas sekali kami adalah pasukan yang lebih baik dalam tempoh 45-60 minit permainan.

"Kami membuat kesilapan individu yang membawa kepada empat gol daripada lima percubaan lawan, jadi realiti itu pahit buat kami.

"Saya tidak perlu khuatir tentang apa yang diperkatakan oleh sesiapa sahaja kerana sudah tentu mereka perlu mengulasnya. Pada masa yang sama, apa yang jelas adalah skuad yang kami ada dan saya menaruh kepercayaan kepada mereka.

"Kami berpeluang untuk mendahului 2-1 atau 3-1 dalam separuh masa pertama jika kami lebih klinikal (di depan gol) selain tuah berpihak kepada kami, ia pasti perlawanan yang berbeza."

Giroud dan Kante dimasukkan sebagai pemain gantian sementara Christian Pulisic turut membuat penampilan pertamanya dalam babak kedua.

Lampard turut menjelaskan keputusannya untuk tidak memulakan pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu yang ditandatangani daripada Borussia Dortmund, Januari lalu, dengan yuran sekitar £58 juta (RM292.2j).

"Christian Pulisic baru berusia 20 tahun, dia akan menjadi pemain yang hebat. Dia mempunyai sentuhan yang mengagumkan dan baru sedikit anda dapat melihat kepantasannya membawa bola," katanya.

"Begitupun, saya juga mempunyai pilihan lain di bahagian tengah dan saya tidak mahu meletakkan Pulisic dalam tekanan tanpa cuba membantu perjalanan kariernya. Saya berpendapat adalah lebih baik bermula dengan Ross Barkley dan Mason yang begitu menyerlah dalam pramusim sebelum memasukkan Christian.

"Sekiranya kedudukan perlawanan adalah 0-1 atau kami mengikat kedudukan, maka kemasukannya akan menjadi suntikan yang hebat. Namun, ia situasi yang sukar buatnya kerana kami ketinggalan."