ARSENAL 2 EVERTON 0

Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol dalam masa tiga setengah minit untuk memberikan Arsenal satu lagi kemenangan dalam liga setelah menundukkan Everton 2-0, lewat malam semalam.


Everton tampak lebih berbahaya dalam babak pertama di Emirates tetapi dua gol pantas daripada gandingan serangan tuan rumah memastikan kemenangan keempat buat mereka dalam liga, musim ini.

The Gunners harus berterima kasih kepada Petr Cech yang sentiasa memastikan gawang tidak dibolosi setelah penjaga gol veteran itu menafikan dua percubaan Richarlison serta sepakan percuma Lucas Digne.

Bagaimanapun, Aaron Ramsey membuka ruang buat Lacazette dan Aubameyang untuk menyumbat gol, membolehkan Arsenal naik ke tangga keenam liga sambil Everton sekali lagi tewas susulan kekalahan 3-1 di tangan West Ham, minggu lalu.

Nacho Monreal memaksa Jordan Pickford melayangkan badan untuk menafikan percubaannya pada awal perlawanan sambil Cech menjadi penghalang buat Richarlison membuka tirai jaringan selepas kembali daripada penggantungan.

Sepakan percuma Digne pada minit ke-31 sekali lagi menguji Cech sebelum Arsenal terpaksa melakukan pertukaran di bahagian benteng apabila Rob Holding menggantikan pemain yang cedera, Sokratis Papastathopoulos.

Hantaran lintang Aubameyang dinafikan Pickford sehingga bola melewati palang gol tatkala rembatan deras Richarlison sekali lagi dihalang oleh Cech.

Pengadil perlawanan, Jon Moss, menafikan peluang Arsenal meraih sepakan penalti pada minit ke-55 walaupun Jonjoe Kenny dilihat menghalang tandukan Aubameyang dengan tangan, namun The Gunners meraih pendahuluan tidak lama kemudian.

Ramsey, yang menyumbat hatrik dalam pertemuan kedua-dua pasukan musim lalu, melakukan lorongan untuk membolehkan Lacazette melepaskan rembatan tepat ke penjuru kanan gol.

Sebelum Everton berpeluang mempamer kebangkitan, Aubameyang menghadirkan keceriaan buat tuan rumah apabila melepasi perangkap ofsaid untuk menyumbat gol susulan gerakan daripada Ramsey yang menyambut bola hantaran Mesut Ozil.