Kualiti Manchester City tidak boleh digugat, kata Mourinho

Oleh Staff Writer 10 November 2018 1190
Kualiti Manchester City tidak boleh digugat, kata Mourinho
Jose Mourinho menyifatkan kualiti Manchester City sebagai "tidak boleh digugat' sempena pertemuan 'derby' awal pagi Isnin ini sambil skuad bimbingannya, Manchester United, tercicir sembilan mata di belakang juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu. 

City memulakan kempen musim ini dengan menakjubkan dan berada di landasan tepat untuk mempertahankan gelaran mereka menjelang pertemuan dengan United biarpun Chelsea dan Liverpool juga dalam bentuk yang mengagumkan. 

Begitupun, persiapan City untuk aksi 'derby' di Stadium Etihad itu terganggu dengan tuduhan City melanggar peraturan kewangan, suatu fakta yang ditekankan Mourinho ditujukan dalam sidang media pra-perlawanannya.

Majalah Jerman, Der Spiegel, dalam beberapa siri terbitannya mendakwa City yang dimiliki Sheikh Mansour itu terbabit dalam beberapa skandal berdasarkan bukti yang kononnya diperoleh daripada Football Leaks.

Laporan Der Spiegel itu mendakwa rejim Sheikh Mansour telah meningkatkan perjanjian penajaan yang bernilai berjuta-juta pound Sterling dengan syarikat-syarikat Abu Dhabi untuk menggunakan kekayaan pemiliknya bagi memenuhi syarat Kewangan Fair Play (FFP) yang ditetapkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Pengurus, Pep Guardiola, berkata City mahu mematuhi peraturan FFP, sehubungan itu Mourinho melancarkan sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap bekas pengurus Barcelona berkenaan memandangkan pasaran perpindahan pemain telah mengangkat mereka ke tahap berbeza dengan United.

"Sukar untuk saya jawab kerana saya fokus kepada tugasan saya, saya sedang menumpukan perhatian terhadap barisan pertahanan dan bola sepak," kata Mourinho kepada pemberita.

"Jika anda ingin bercakap mengenai potensi bola sepak mereka, kita boleh bercakap dan potensi bola sepak bermula dengan pelaburan.

"Kemudian, ia melibatkan kualiti kerja dan organisasi. 

"Saya berasakan unsur-unsur itu tidak boleh disentuh tetapi saya tidak boleh ulas tentang apa yang terjadi di balik tabir. 

"Pada masa ini, saya hanya perlu memikirkan tentang bola sepak dan mengenai Manchester City sebagai sebuah pasukan yang mempunyai reputasi tersendiri."

Sebelum ini, pengendali Portugis  itu -- United menduduki tangga ketujuh -- mendakwa United tidak boleh dianggap sebagai pencabar gelaran sehinggalah mereka mara ke kelompok empat teratas.

Barisan pemain Mourinho akan bertandang ke gelanggang musuh setempat itu dengan dibayangi kemampuan City memenangi gelaran liga dengan kelebihan 19 mata ke atas mereka musim lalu selain memecahkan pelbagai rekod dalam proses itu.

Mourinho mendakwa United tidak akan menumpukan perhatian untuk mengurangkan jurang di antara kedua-dua kelab tersebut sempena pertemuan minggu ini.

"Jika seri, maka kami akan dipisahkan dengan City dengan sembilan mata dan jika kami kalah, maka ia akan menjadi 12 mata. Bukan begitu caranya untuk menilai perlawanan ini," kata Mourinho. "Saya hanya memikirkan tentang corak persembahan kami. 

"Ini adalah perlawanan tumpuan, dalam konteks kami yang sedang bergelut, ia menjadikan ia lebih sukar buat kami. 

"Saya mahu perlawanan ini menjadi pertembungan terpencil untuk bertemu pasukan yang sukar dihadapi. Apapun, saya tidak fikir ini akan menjadi perlawanan mudah buat mereka."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen