ARSENAL 2 CHELSEA 0

Kapten Arsenal, Laurent Koscielny, berasa lega sebaik pasukannya menewaskan pasukan di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, Chelsea, 2-0 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.


Koscielny melengkapkan kemenangan itu menerusi jaringan pertamanya sejak menderita kecederaan tendon achilles, Mei tahun lalu.

Apa yang lebih mengagumkan adalah kemenangan itu juga meletakkan mereka hanya ketinggalan tiga mata di belakang seteru London itu bagi merebut slot Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Bagi Koscielny, ia merupakan usaha kolektif pasukannya yang tidak pernah lelah untuk bangkit selepas diaibkan West Ham minggu lalu.

"Kami memerlukan kemenangan yang melibatkan enam mata ini memandangkan kami telah melakukan kesilapan minggu lalu," katanya kepada BT Sport.

"Jika tewas, kami akan ketinggalan sembilan mata di belakang mereka.

"Jika menang, jurang itu akan dikecilkan kepada tiga mata.

"Kami masih memburu kedudukan empat terbaik.

"Kemenangan ini amat penting, setiap pemain memberikan komitmen sepenuhnya.

"Kami banyak berbincang dan membuktikan di atas padang bahawa kami mahu memenanginya sebagai satu pasukan.

"Ia amat baik untuk beraksi seperti ini.

"Kami berjuang untuk satu sama lain.

"Apabila kami tidak dibolosi, ia bukan hanya disebabkan kehebatan pertahanan kami.

"Kami membuktikan setiap pemain bekerja sebagai satu pasukan.

"Penyerang menjaringkan gol dan membantu bahagian pertahanan.

"Ia mentaliti yang baik dan kami perlu mengekalkannya," katanya.

Alexandre Lacazette menjaringkan gol gemilang pada minit ke-14 selepas memanfaatkan ruang di bahagian tengah bagi menewaskan Kepa Arrizabalaga.

"Jaringan itu terhasil berdasarkan apa yang jurulatih rancangkan di dalam bilik persalinan.

"Kami masih ketinggalan tiga mata di belakang Chelsea dan kami akan berusaha sehingga ke saat-saat akhir," katanya.