David Moyes meninggalkan West Ham selepas kontrak jangka pendeknya sebagai pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berakhir.

Bekas bos Everton dan Manchester United itu dilantik sehingga akhir musim ini pada November lalu susulan permulaan hambar di bawah pengendali, Slaven Bilic.

Moyes membantu West Ham kekal dalam EPL musim depan dengan baki dua perlawanan selepas membenam Leicester City 2-0.

Penyokong nyata tidak gembira dengan ahli lembaga pengarah West Ham sejak kelab itu berpindah ke Stadium London, dengan kekecewaan itu berlarutan apabila beberapa peminat didapati menyerbu masuk ke dalam padang dan cuba menceroboh kawasan bangku pengurusan kelab itu dalam kekalahan 0-3 ke kepada Burnley bulan lalu.

Pengerusi bersama West Ham, David Sullivan -- amat berterima kasih kepada Moyes kerana mengekalkan pasukan itu dalam saingan teratas sambil menjanjikan pengurus "berkaliber tinggi" sebagai penggantinya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada David Moyes dan kakitangannya kerana mencapai sasaran mengekalkan West Ham United dalam Liga Perdana Inggeris," kata Sullivan dalam satu kenyataan yang turut mengesahkan pembantu Moyes, Alan Irvine, Stuart Pearce dan Billy McKinley akan meninggalkan kelab itu.

"Sepanjang di sini, David memikul tugas dengan penuh bertanggungjawab dan jujur. Kami semua gembira untuk bekerjasama dengannya. Dia, Alan, Stuart dan Billy menyahut cabaran itu dan mengubah situasi yang pada asalnya sukar. Mereka berhak dihormati atas usaha itu dan kami berharap mereka berjaya nanti.

"Sebaik David dan pasukannya tiba, kedua-dua pihak bersetuju untuk hanya memberi fokus dalam tempoh enam bulan, iaitu sehingga akhir musim ini, dan keputusan berkaitan dengan masa depan akan dibuat kelak. Selepas membuat pertimbangan sewajarnya, kami ingin bergerak ke arah yang berbeza.

"Kami sudah mengenal pasti dan akan merekrut pengurus yang kami percaya dapat menerajui West Ham United sejajar dengan cita-cita kami. Kami berhasrat melantik seorang pengurus yang berkaliber tinggi dalam tempoh 10 hari akan datang, kami berasakan individu ini akan menjadi masa depan yang menarik untuk penyokong setia kami."