Unai Emery tidak terbawa-bawa selepas Arsenal membuat langkah penting dalam perebutan tiket Liga Juara-Juara (UCL) musim depan sambil mendesak barisan pemainnya agar terus fokus dan memberikan persembahan yang konsisten.

Jaringan Granit Xhaka dan Pierre-Emerick Aubameyang memastikan Arsenal meraih kemenangan 2-0 ke atas Manchester United, awal pagi tadi, untuk The Gunners memintas lawan mereka itu di tangga keempat.

Skuad kendalian Emery itu tidak akan lagi bertemu mana-mana enam pasukan teratas untuk baki musim ini, namun pengurus itu mengakui perjalanan masih jauh.

Biarpun mempamerkan aksi konsisten untuk merakamkan sembilan kemenangan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat sendiri, Emery tidak rela anak buahnya mengendurkan aksi mereka sambil berharap dapat mengekalkan rentak kemenangan di sebalik tekanan yang diberikan United dan Chelsea -- manakala Tottenham yang menghuni tangga ketiga hanya dipisahkan dengan satu mata.

"Kami positif," kata Emery dalam sidang akhbar mengenai peluang Arsenal. "Ketika kami bergelut dalam kedudukan liga dengan perbezaan mata yang banyak, kami tetap tenang.

"Dan selepas kemenangan ini, kami boleh bersikap positif tetapi ia tidak akan mengubah pendekatan kami. Ia akan berterusan dan ia menjadi lebih sukar. Justeru, kami hanya memikirkan perlawanan demi perlawanan.

"Kami sedang bersaing dalam dua kejohanan, EPL dan Liga Europa. Kami akan beraksi dalam perlawanan seterusnya menentang Newcastle United di sini dalam masa masa tiga minggu lagi -- itu masa yang panjang.

"Tumpuan kami ketika ini ialah aksi timbal balik dengan Rennes dalam pusingan 16 Liga Europa, Jumaat ini.

"Kami gembira dengan aksi hari ini dan kedudukan kami dalam liga menjadi lebih baik selepas keputusan ini. Bagaimanapun, Chelsea, United dan Tottenham juga mampu menggugat kami. Perlawanan terakhir bakal menjadi perlawanan yang sengit.

"Mengekalkan aksi konsisten sangat penting pada masa ini. Kami bermain dengan penuh keyakinan dalam setiap kejohanan dan hari ini kami membuktikannya.

"Kami harus kekal tenang dan sabar, terus meningkatkan prestasi. Kami sedar, sebagaimana aksi Jumaat lalu, satu perlawanan boleh berubah hanya kerana satu kad merah, satu gol. Kemampuan mengendalikan emosi sangat penting.

"Hari ini kami beraksi dengan emosi yang baik sepanjang 90 minit permainan di sebalik United memiliki beberapa peluang menarik. Kami memerlukan kerja keras daripada penjaga gol, pemain tengah dan pertahanan. Tahap konsistensi dalam fikiran sangat penting," katanya.

Emery membuat lima pertukaran berbanding pasukan yang ditewaskan 1-3 di Rennes dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Eropah, Jumaat lalu.

Meskipun keputusan di Perancis itu boleh meranapkan harapan mereka, Emery tetap yakin beliau mempunyai skuad besar untuk merombak pasukannya.

"Perlawanan tanpa dibolosi sangat penting," katanya ketika ditanya mengenai prestasi benteng Arsenal. "Begitupun, adalah penting juga untuk mengetengahkan sistem permainan yang berbeza, pemain yang berbeza tetapi mengekalkan prestasi yang sama.

"Persembahan kami bertambah baik dan akan semakin meningkat apabila kami dalam keyakinan. Namun, kami perlu berjuang dan meneruskan persembahan meyakinkan ini untuk mencipta kemenangan dalam dua kejohanan."