Kapten Manchester City, Vincent Kompany, berkata dia tetap tenang walaupun masa depannya bersama juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu masih samar.

Kompany, 32, bakal mengakhiri kontrak terkini pada penghujung musim ini dan sedang bergelut dengan episod kecederaan di City.

Bek tengah itu, yang berada di Etihad sejak 2008, berkata dia tidak memikirkan soal kontrak baru tatkala pasukan bimbingan Pep Guardiola itu masih kekal dalam pemburuan empat trofi musim ini.

"Saya berada dalam situasi yang baik, memiliki hubungan yang bagus dengan kelab. Kami seperti satu pasangan," kata Kompany.

"Tiada siapa yang membuat keputusan tidak diingini. Kami berdepan jadual yang banyak selepas ini kerana empat trofi masih mampu dicapai dan kontrak saya belum tamat.

"Itu adalah kunci utama. Tiada keperluan untuk terlalu memikirkan perkara jauh di masa akan datang. Semua pemain tetap tenang."

City berpeluang untuk memintas Liverpool dan naik ke puncak liga jika menundukkan Everton awal pagi Khamis ini.