Vincent Kompany percaya rakan sepasukannya di Manchester City, Bernardo Silva, layak memakai lilitan ketua pasukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kompany menjulang kejuaraan EPL keempatnya sebagai kapten City, kelmarin selepas skuad kendalian Pep Guardiola itu menundukkan Brighton & Hove Albion 4-1 untuk mengetepikan cabaran Liverpool.

Pemain berusia 33 tahun itu menjaringkan gol menakjubkan dalam kemenangan ke atas Leicester City sebelum melangkah ke perlawanan terakhir musim ini dan seterusnya mengesahkan kejayaan di Stadium AMEX.

Dalam masa sama, tonggak Portugal, Silva, menikmati musim gemilangnya bersama City dengan melakar tujuh gol selain menawarkan banyak bantuan gol.

Kompany percaya pemain berusia 24 tahun itu memiliki karakter untuk diangkat sebagai pemimpin City pada masa akan datang selagi dia tidak berkelakuan seperti badut.

"Saya pernah katakan padanya, anda sering berkelakuan 50 peratus seperti badut, 50 peratus lagi seperti pemimpin," kata Kompany kepada stesen radio Perancis, RMC.

"Apabila dia berkelakuan 25 peratus seperti badut dan 75 peratus selebihnya seperti pemimpin, maka dia layak memimpin pasukan ini.

"Dia begitu hebat dan secara jujurnya, ​​tiada siapa yang lebih berhak."

Kempen luar biasa Silva dibuktikan dengan pencalonannya untuk Anugerah Pemain Terbaik PFA 2019 -- yang dimenangi pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk -- selain tersenarai dalam Pasukan Pilihan PFA.