Ketua pasukan Manchester City, Vincent Kompany, menghormati Wayne Rooney sebagai salah seorang penyerang terbaik pernah dilahirkan England, namun bersedia untuk berhadapan dengan bekas pemain Manchester United itu malam ini.

City bakal melayani kunjungan Everton ke Etihad, namun tumpuan lebih terarah kepada Rooney selepas menjaringkan gol kemenangan The Toffees menentang Stoke City minggu lalu dalam aksi kompetitif pertamanya sejak kembali dari Old Trafford.

Tanpa menyembunyikan perasaan kagum, Kompany turut menyifatkan Rooney adalah antara pemain terbaik pernah dihadapinya.

“Saya sangat menghormati Rooney. Kami bertemu dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Lebih 20 kali saya mewakili City menentang United dan tidak ada satu perlawanan pun tanpa Rooney.

“Jika dilihat gol yang dijaringkannya minggu lalu, dia pasti menjadi ancaman bahaya di dalam kotak penalti,” kata Kompany.

Sepakan akrobatik yang dilakukan Rooney ketika pertemuan 'derby' pada tahun 2011 pastinya tidak dilupakan Kompany walaupun pertahanan Belgium itu menyifatkan dia telah melakukan tugasnya dengan baik sepanjang perlawanan.

“Bagi saya, gol itu adalah bakat semulajadi Rooney kerana saya sentiasa mengawalnya di dalam perlawanan tersebut.

“Harus diingat, penyerang hebat akan melakukan sesuatu di luar jangkaan sehingga membuatkan anda terpaku,” tambahnya.