Kompany dilantik pengurus Anderlecht selepas bincang enam jam 

Oleh Staff Writer 24 Mei 2019 2949
Kompany dilantik pengurus Anderlecht selepas bincang enam jam 
Vincent Kompany dilantik sebagai pengurus baru Anderlecht selepas mengadakan pertemuan selama enam jam dengan kelab itu, dedah Pengarah Teknikal, Frank Arnesen.

Ketua pasukan Manchester City tersebut, Ahad lalu, mengumumkan akan kembali ke bekas kelab akademinya selepas 11 tahun di Stadium Etihad dengan membantu mereka mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) keempatnya untuk meraih kejayaan 'treble'.

Arnesen mendedahkan proses sebelum melantik pertahanan tengah Belgium itu selain percaya pemain berusia 33 tahun itu mampu mengembalikan prestij kelab itu sebagai pasukan gergasi negara itu.

"Kami berkunjung ke Manchester untuk mengadakan pertemuan dengan (Kompany) selama enam jam," kata Arnesen kepada Sky Sports News.

"Saya amat mengaguminya dan sebaik pulang daripada mesyuarat ini, saya bersetuju sepenuhnya.

"Kami telah melalui beberapa saat jatuh dan bangun, Anderlecht berada di bawah ketika ini. Sebab itulah saya dilantik empat bulan lalu.

"Sebagai pemain, Vincent bukan sahaja akan membantu kami mengorak selangkah ke depan, bahkan mungkin tiga, empat langkah ke depan. Kami tidak mempunyai pemimpin.

"Segalanya adalah langkah yang hebat (pelantikannya). Saya amat mengagumi penjelasannya tentang falsafah bola sepak, tentang bagaimana kami akan lakukannya dan apa yang dia cuba lakukan.

"Vincent sudah menyatakan persetujuannya kira-kira empat minggu lalu."

Anderlecht kini ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu, Genk, selepas hanya menang sekali dalam 10 perlawanan Divisyen A Pertama.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen