Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata pendahulu Liga Perdana Inggeris itu tidak akan terkesan dengan tekanan walaupun terus dikejar oleh Manchester City.

Keputusan seri 1-1 dengan West Ham awal pagi tadi bermakna The Reds terlepas peluang untuk menjarakkan kedudukan kepada lima mata di tangga teratas liga dan City berpeluang memintas anak buah Jurgen Klopp itu jika menundukkan Everton awal pagi Khamis ini.

Kali terakhir City menduduki tangga teratas liga adalah pada 15 Disember lalu tetapi Liverpool mencatat keputusan seri dalam dua aksi terakhir, sekali gus membuka ruang buat skuad kendalian Pep Guardiola itu sambil Tottenham Hotspur di bawah bimbingan Mauricio Pochettino mencatat tiga kemenangan berturut-turut untuk menyertai perebutan tiga penjuru bagi kejuaraan liga.

Liverpool tanpa Georginio Wijnaldum, Jordan Henderson, Joe Gomez, Dejan Lovren dan Trent Alexander-Arnold ketika berkunjung ke Stadium London, yang menyaksikan gol pendahuluan Sadio Mane dipadamkan oleh Michail Antonio dalam babak pertama.

Namun, Klopp tidak berasa tekanan yang dicetuskan City akan mengganggu pasukannya.

"Ya, saya yakin tentang perkara itu," ujar Klopp.

"Saya rasa sejak lima hingga lapan minggu lalu, kami bercakap tentang perebutan dua pasukan tetapi kini kejuaraan liga menjadi pertarungan tiga pasukan.

"Mereka menghadapi situasi sukar tetapi melaluinya dengan baik. Saya harus memuji Pochettino dan anak buahnya di atas apa yang mereka lakukan tatkala mereka berdepan masalah kecederaan. Bagi saya, mereka benar-benar berada dalam perebutan juara liga.

"Jika anda mahu berada di puncak liga di penghujung musim nanti, anda perlu menghadapi situasi yang lebih sukar berbanding apa yang kami lalui ketika ini. Itu kebenarannya. Sudah tentu anda memerlukan pemain yang lebih cergas dan beraksi dengan baik."

"Kami mempunyai 62 mata, tewas satu perlawanan setakat ini, jadi ia sangat positif. Namun, apabila saya melihat wajah anda, anda kasihan terhadap kami. Anda tidak perlu begitu, kami baik-baik sahaja. Semuanya bagus.

"Kami melalui aksi sukar di Stadium London tetapi jika melihat apa yang berlaku dan meraih satu mata berdepan West Ham, bagi saya ia sudah baik," tambah Klopp.