Jurgen Klopp mendedahkan dia tidak terkejut dengan kejayaan Brendan Rodgers sejak pengurus Leicester City itu dipecat Liverpool empat tahun lalu.

Selepas melalui tempoh tiga tahun di Anfield, Rodgers digantikan oleh Klopp sebelum berpindah ke Celtic, di mana dia memenangi tiga kejuaraan selama dua tahun berturut-turut.

Rodgers mengambil-alih Leicester pada Februari lalu dan pasukan bimbingannya itu kini menyinar di tangga ketiga liga menjelang aksi di Anfield, malam ini.

Kejayaan pengendali dari Ireland Utara itu sejak meninggalkan The Reds tidak mengejutkan Klopp, yang bercakap mengenai kualiti yang dimiliki Rodgers.

"Bagi orang ramai, apabila seorang pengurus dipecat, mereka fikir dia telah kehilangan otak bola sepak dan sebagainya. Itu tidak berlaku," kata pengurus Liverpool itu kepada akhbar di UK.

"Situasinya, saya tidak tahu 100 peratus tetapi kualiti Rodgers bukan sebabnya kerana saya tahu bagaimana Liverpool beraksi sebelum ini dan mereka menyinar.

"Kami menentang mereka dengan Borussia Dortmund. Kami tidak berada dalam keadaan baik dan tewas 4-0. Mereka beraksi dengan baik dan saya sangat menghormatinya sebagai pengurus.

"Apa yang berlaku sebelum ini, saya tidak tahu tetapi ia bukan kualiti seorang jurulatih. Mudah. Tetapi sudah tentu harapan dan hubungan atau apa sahaja di antara dua pihak, jika tidak berjalan lancar, kelab perlu membuat keputusan. Saya tahu tentang itu.

"Jika satu hari nanti kelab perlu membuat keputusan, ia tidak menggambarkan tentang diri saya ketika itu.

"Rodgers mencapai tahap yang diletakkan -- selaku pembantu jurulatih Chelsea, pengurus Swansea City dan Liverpool -- sangat muda, kemudian ke Celtic dan berjaya. Pergi ke Leicester hanya membuktikan apa yang saya fikirkan. Saya tidak terkejut."

Liverpool kini memiliki kelebihan lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris selepas mencatat tujuh kemenangan bersih sejak permulaan kempen.

Menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu, Klopp -- yang masih menyewa rumah milik Rodgers di Formby -- membincangkan bagaimana pengurus berusia 46 tahun itu menerima pemecatannya di Liverpool.

"Kami duduk di ruang tamu, bercakap antara satu sama lain tentang kebanggaan dan harapan pasukan tetapi itu perkara biasa," tambahnya.

"Dia tidak kecewa tetapi menerimanya sebagai seorang lelaki. Saya tahu pasukan itu dan ia perbualan yang biasa."