Jurgen Klopp percaya tempat Liverpool dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) belum terjamin di sebalik kemenangan selesa 5-2 ketika menentang AS Roma yang menyaksikan mereka melepaskan dua gol pada lewat permainan dalam aksi separuh akhir pertama di Anfield, awal pagi tadi.

Persembahan individu sensasi dipamerkan Mohamed Salah, yang menyumbat dua gol dalam babak pertama serta menghasilkan dua bantuan gol selepas rehat untuk mempimpin permainan 5-0.

Tetapi selepas Salah ditukarkan, Roma menjaringkan gol lewat melalui Edin Dzeko dan Diego Perotti, sekali gus membayangkan untuk mengulangi kemenangan 3-0 ke atas Barcelona di peringkat suku akhir.

"Saya belajar sesuatu, kami masih boleh menang di Rom kerana mereka perlu mencetak gol terhadap kami," kata Klopp dalam sidang akhbar.

"Kami bukannya Barcelona, ​​mereka merupakan antara pasukan terbaik di dunia dan memenangi banyak trofi -- kami akan berjuang dengan dengan apa yang ada.

"Ia jauh lebih baik daripada yang saya harapkan sebelum permainan, namun saya sudah lebih berminat untuk memikirkan pertemuan dengan Stoke berbanding aksi timbal balik menentang Roma.

"Suasana pada malam ini sangat luar biasa bagi setiap penyokong yang hadir dan saya mengharapkan sambutan yang sama pada Sabtu ini (menentang Stoke City di tempat sendiri) kerana kami memerlukannya.

"Ia satu perlawanan besar, kami perlu bersedia, kami perlu membuat persiapan rapi," ujarnya.