FULHAM 1 LIVERPOOL 2

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak pernah meragui kemampuan James Milner untuk menyudahkan sepakan penalti bagi memadam kesilapan awal yang dilakukannya bagi memastikan kemenangan 2-1 ke atas Fulham dalam Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, malam tadi.


The Reds kini berkelebihan dua mata puncak liga, meninggalkan juara bertahan, Manchester City, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan, di tangga kedua.

Bagaimanapun, mereka perlu menunggu drama pada lewat permainan untuk menundukkan lawan yang bergelut di zon penyingkiran itu.

Milner, yang dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua, melakukan kesilapan ketika mengeluarkan bola yang mencetus salah faham di antara Virgil van Dijk dan penjaga gol, Alisson.

Kesempatan itu dimanfaatkan bekas penyerang Liverpool, Ryan Babel, untuk memadam kelebihan awal yang dijaringkan Sadio Mane pada minit ke-26.

Bagaimanapun, Mane dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh penjaga gol Fulham, Sergio Rico, dan Milner menyelesaikan tugasan itu untuk menjaringkan gol pada sembilan minit terakhir perlawanan.

"Millie mengambil sepakan penalti itu ketika dia di atas padang. Ia masuk akal (untuk dia mengambil sepakan itu)," kata Klopp dalam sidang media selepas perlawanan.

"Ia tiada keraguan, namun Millie juga manusia biasa.

"Cuba anda fikirkan, tanpa Millie ia mungkin hanya 1-0!

"Kami menunjukkan reaksi yang baik. Ia bukanlah perlawanan yang sempurna.

"Saya amat pasti saya tidak menunjukkan panik dan tidak akan menunjukkan kegusaran seperti yang anda semua nanti-nantikan.

"Kami sudah biasa dengan situasi seperti ini.

"Amat sukar untuk pihak lawan menewaskan kami, jadi kami mempunyai peluang untuk memenanginya," katanya.

City mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan sehingga 'derby' Manchester hujung bulan depan dan Klopp menjangkakan skuad kendalian Pep Guardiola itu tudak akan keciciran banyak mata walaupun mereka berdepan situasi cemas sebelum menewaskan Swansea City 3-2 dalam suku akhir Piala FA semalam.

"Ia tidak kelihatan seperti City akan keciciran banyak mata, jadi kami perlu terus meraih kemenangan.

"Kemenangan hari ini amat penting dan anda dapat lihat bagaimana reaksi kami selepas tamat perlawanan.

"Kami perlu memastikan yang kami sentiasa kekal dalam persaingan kerama kami mahu bersaing," tambahnya.