Jurgen Klopp menegaskan dia gembira di Liverpool "buat masa ini" tetapi enggan menolak kemungkinan akan menggantikan Joachim Low sebagai pengurus Jerman pada 2022.

Klopp telah membuat penambahbaikan yang ketara sejak mengambil alih jawatan di Anfield pada 2015 dengan menjadikan The Reds sebagai kekuatan sebenar di kancah tempatan dan di Eropah.

Di bawah asuhan Klopp, Liverpool telah meraih tiga final kejohanan utama Eropah dan memenangi Liga Juara-Juara (UCL) 2018-19, disusuli kejayaan Piala Super UEFA.

Walaupun mereka terlepas gelaran Liga Perdana musim lalu, hanya satu mata di belakang Manchester City, permulaan yang menakjubkan dalam kempen musim baru ini selepas lapan perlawanan meletakkan mereka kini lapan mata di depan skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Susulan Die Mannschaft bergelut untuk memenuhi jangkaan sejak memenangi Piala Konfederasi 2017, Klopp telah dicadangkan sebagai penyelamat yang berpotensi untuk mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Low yang kontraknya akan tamat pada 2022, namun bekas pengurus Borussia Dortmund berkenaan tidak mahu menafikan.

Apabila ditanya mengenai potensi itu dalam masa tiga tahun lagi, Klopp memberitahu Magenta TV: "Saya tidak dapat menjelaskannya, saya tidak pasti jika saya menginginkannya.

"Buat masa ini, saya tidak berasa menginginkannya. Saya gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang dan ini faktor penting dalam keseluruhan cerita ini.

"Saya juga 100 peratus tidak boleh mengatakan sama ada saya merupakan pilihan yang tepat. Jika persoalan itu timbul, saya akan memikirkannya -- tetapi bukan sekarang."

Klopp mempunyai kontrak di Liverpool sehingga akhir Jun 2022.