Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, kini berdebar menanti perkembangan tentang Roberto Firmino selepas penyerang itu mengalami kecederaan pada bahagian mata sewaktu menewaskan Tottenham Hotspur 2-1, semalam.

Penyerang dari Brazil itu menjaringkan gol kedua buat The Reds sebelum terpaksa dibawa keluar selepas mengalami kecederaan sewaktu bergelut berebut bola dengan Jan Vertonghen.

Liverpool bakal berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Rabu dan Klopp kini masih belum pasti sama ada pemain berusia 26 tahun itu dapat diturunkan atau tidak.

"Saya tidak pasti tetapi Firmino mungkin mengalami kecederaan dan kami tidak mengetahui tentangnya secara terperinci," kata Klopp.

"Terdapat masalah pada bahagian matanya dan kami akan melihat perkara itu.

"Saya tidak begitu jelas. Sewaktu ia berlaku, saya berada pada jarak 60 ela, jadi saya tidak begitu pasti apa sebenarnya yang terjadi.

"Namun, terdapat sesuatu yang berlaku pada bahagian matanya dan sudah pasti dia tidak berasa selesa ketika ini. Kami akan melihatnya."