Klopp tidak gemar 'sajian' United, kata Mourinho

Oleh Staff Writer 21 Oktober 2019 4533
Klopp tidak gemar 'sajian' United, kata Mourinho
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak menggemari 'menu' yang disajikan Manchester United ketika terikat 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford lewat malam tadi, kata Jose Mourinho.

Marcus Rashford menjaringkan gol pembukaan buat United menerusi satu serangan balaas pantas pada minit ke-36.

Gol kontroversi itu disahkan video bantuan pengadil (VAR) walaupun Liverpool mendakwa Victor Lindelof terlebih dahulu mengasari Divock Origi sebelum gerakan itu terhasil.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu hampir mengecewakan pendahulu liga berkenaan, yang jaringan penyamaannya menerusi Sadio Mane turut dibatalkan VAR, namun tidak mampu mengekalkan kedudukan itu apabila Adam Lallana menolak masuk gol penyamaan pada lima minit terakhir.

Bekas pengurus United, Mourinho, berasakan corak permainan Solskjaer, yang meletakkan tiga pertahanan tengah, berhasil untuk menyukarkan Klopp dan Liverpool gagal meneruskan rekod kemenangan mereka.

"(Klopp) tidak suka menu itu -- dia mahu daging tetapi dapat ikan," katanya kepada Sky Sports.

"Mereka mahu berdepan lawan yang akan memberikan mereka peluang untuk melakukan serangan balas.

"Sudah pasti, United, dengan kekangan yang dihadapi buat masa ini, bermain dengan gaya permainan berbeza.

"Mereka cuba menghentikan peralihan itu, sentiasa bermain dengan tiga pertahanan tengah dan sentiasa kompak.

"Liverpool tidak suka menu itu.

"Liverpool kehilangan kualiti ketika menentang pasukan dalam kelompok bawahan.

"Saya perlu mengakui yang saya amat gembira mereka tidak menang kerana rekod itu (Chelsea memenangi sembilan perlawanan berturut-turut sejak permulaan musim 2005-06) milik saya dan bukannya mereka.

"Adakalanya mereka kelihatan bergelut untuk menentang pasukan di kelompok bawahan.

"Mereka memiliki keputusan yang hebat tetapi adakalanya kemenangan mereka terbatas.

"Mereka boleh membelasah pasukan yang bermain dengan cara yang mereka mahukan.

"Jurgen jelas sedikit kecewa.

"Old Trafford merupakan tempat istimewa untuk Liverpool meraih kemenangan tetapi dia tidak pernah berjaya," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen