Jurgen Klopp menegaskan bahawa Mohamed Salah tidak mengalami krisis keyakinan dan menuduh media bersikap berlebihan terhadap beberapa corak serangan Liverpool kebelakangan ini.

The Reds merapati kedudukan Manchester City di puncak dengan satu mata hasil kemenangan 4-2 ke atas Burnley di Anfield, malam tadi, apabila Roberto Firmino dan Sadio Mane masing-masing mencetak dua gol.

Ia merupakan satu lagi aksi tanpa gol daripada Salah yang gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang dan sentuhan berbisanya hanya dijelmakan sekali dalam lapan perlawanan terakhirnya.

Begitupun, Klopp menyifatkan bintang Mesir itu sebagai pemain terbaik di atas padang sambil menempelak pihak yang membuat kesimpulan terhadap persembahan pasukannya.

"Kami menjaringkan lima gol dua minggu lalu ketika menentang Watford. Kemudian kami tidak menyumbat gol ketika berdepan Everton dan semua orang mula menuntut saya membariskan kesebelasan yang lebih menyerang! Lain kali jika kami gagal menghasilkan gol, saya fikir anda akan menuntutnya sekali lagi," katanya.

"Kami tidak mempunyai masalah dengan keyakinan. Kami tidak mempunyai masalah selepas menentang Everton. Anda tidak perlu berfikir bahawa semua yang anda tulis itu akan mempengaruhi kami dan kebanyakannya langsung tidak menarik minat kami!

"Jika kami meledak lima gol, maka kami dilabel sebagai sebuah pasukan yang memiliki rangkaian penyerang terbaik di dunia dan apabila kami gagal melakukannya, kami akan ditimpa masalah yang menyinggung perasaan.

"Hari ini, bagi saya Mo Salah adalah pemain terbaik di atas padang dan dia tidak menjaringkan gol. Saya tidak pasti anda akan menganggapnya (pemain terbaik) berdasarkan angka penilaian yang diberikan kerana dia adalah penyerang tetapi tidak menjaringkan gol.

"Namun, kami tidak mempunyai masalah keyakinan. Kami berada dalam keadaan yang baik."

Tambah Klopp: "Kami hanya perlu memastikan kami kekal di kedudukan yang sangat menarik dalam liga. Mesej yang dihantar pada hari ini adalah tiada siapa pun boleh menghalang kami jika kami bermain seperti hari ini.

"Kami mempunyai ramuan sempurna untuk menghadapi sebarang lawan dalam apa jua keadaan dan pendekatan permainan. Ia sesuatu yang benar-benar bagus dan saya menyukainya."

Klopp berasakan jaringan pembukaan Burnley itu tidak sepatutnya diberikan memandang pergerakan Alisson telah dihalang dalam kotak penalti selain percaya pasukannya sepatutnya perlu dihadiahkan dua penalti.

Walaupun beliau mengakui berharap pengadil mampu membuat keputusan yang betul dalam perlumbaan kejuaraan, Klopp menggesa pasukannya agar tidak mempedulikan perkara bertentangan dengan mereka.

"Adakah wajar jika saya meletakkan lebih banyak tekanan kepada pengadil?" katanya. "Bahagian terakhir musim ini adalah bahagian terpenting untuk memenangi sesuatu.

"Kami memerlukan sedikit tuah. Jika Andre Marriner (pengadil) mempunyai sudut pandangan yang lebih baik, dia mungkin akan meniupkan wisel untuk menyebelahi Alisson. Kita perlu bertanya kepadanya! "

Merujuk kepada kemenangan Manchester City ke atas Watford yang menyaksikan Raheem Sterling terlepas daripada perangkap ofsaid untuk jaringan pembukaan perlawanan, Klopp berkata: "Saya fikir mereka mencuba segala-galanya untuk mendapatkan keputusan dengan cara yang adil.

"Semalam, adakah mereka sudah memutuskan ia jaringan yang sah atau tidak, atau 100 peratus ofsaid? Adakah sesiapa yang tahu? Ia masih menjadi persoalan, jadi ia sudah cukup menceritakan segala-galanya bukan?

"Kami dibolosi dengan cara yang sama ketika menentang Tottenham berikutan Dejan Lovren menyentuh bola berkenaan. Dalam bola sepak, ia seharusnya ofsaid. Sterling tidak boleh menjadi penjaga garisan merangkap pemain pada masa yang sama.

"Ia agak rumit tetapi akan ada situasi lebih rumit yang lain lagi dan kami perlu pastikan kami bersedia secukupnya supaya ia tidak terlalu mempengaruhi."