Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, sudah terbiasa dengan kemenangan hasil daripada jaringan ofsaid, kata Manuel Pellegrini.

West Ham mengikat The Reds 1-1 di Stadium London, awal pagi tadi, selepas Michail Antonio memadamkan gol pendahuluan Sadio Mane.

Namun, jaringan Mane tidak seharusnya diambil kira kerana James Milner dalam keadaan ofsaid sebelum melakukan hantaran ke dalam kotak penalti sambil Liverpool turut hampir menjaringkan gol kemenangan menerusi Divock Origi yang turut berada dalam posisi ofsaid.

Pellegrini jelas berang dengan keputusan pengadil dan mengimbas kembali aksi Liga Juara-Juara Eropah di mana pasukan kendaliannya ketika itu, Malaga, tunduk secara kontroversi di tangan Borussia Dortmund bimbingan Klopp.

Klopp dilihat tidak gembira dengan wisel penamat dan dia bersama Pellegrini menemui pengadil perlawanan yang diketuai oleh Kevin Friend sebelum meninggalkan padang.

Dan Pellegrini pantas melihat semula kepada aksi suku akhir pada 2013 itu ketika sidang media.

"Tidak kira apa yang diperkatakan, Klopp sudah biasa menang dengan gol ofsaid," kata Pellegrini.

"Dia menewaskan saya sewaktu aksi Dortmund dan Malaga dengan jaringan ofsaid dari jarak tujuh meter, jadi dia tidak boleh merungut tentangnya."

West Ham tewas dalam tiga aksi sebelum ini bagi semua kejohanan dan Pellegrini menyeru pemainnya agar mempamerkan lebih konsistensi.

"Saya teruja dengan persembahan kerana saya rasa kami bermain dengan baik, namun kecewa dengan keputusan kerana lawan menjaringkan gol yang sepatutnya ofsaid.

"Kami melepaskan tiga atau empat peluang, terutama dalam 35 minit terakhir. Kami mensia-siakan kesempatan untuk menamatkan aksi. Jadi, kami terpaksa menerima keputusan seri dalam perlawanan yang patut diakhiri dengan kemenangan."