Jurgen Klopp percaya hubungan 'sensasi' dalam kalangan pemain Liverpool akan terus menghalang mereka daripada mencari peluang baru di tempat lain.

Liverpool memilih untuk tidak aktif dalam jendela perpindahan lalu dan fokus memperkuatkan pasukan teras yang menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Pasukan gergasi LaLiga, Real Madrid, secara berterusan dikaitkan untuk mendapatkan khidmat Mohamed Salah dan Sadio Mane, namun Mane, yang menjaringkan dua gol musim ini, sudah menyatakan bahawa dia amat gembira bersama The Reds.

Klopp berkata: "Perkara pertama, kami perlu memastikan ia (pasukan) kekal seperti ini, itulah yang kami rasakan sesama kami.

"Kami memiliki suasana luar biasa dalam pasukan, suasana sensasi di Melwood dan kita semua tahu suasana di Anfield.

"Tidak kira ke mana kami pergi, mereka sentiasa gembira untuk melihat kami, sekurang-kurangnya buat penyokong kami.

"Ia amat istimewa tetapi kami bekerja keras untuk memilikinya dan kami perlu mengekalkannnya.

"Fokus kepada langkah seterusnya, percaya kepadanya, meningkat, cuba bersaing semampu mungkin, berlari selagi anda mampu, melompat setinggi yang anda mampu, semua perkara seperti itu.

"Kini kami mempunyai asas yang baik dan kami perlu menggunakannya dan meningkatkannya, dan selepas itu pemain kami tidak mempunyai alasan untuk pergi.

"Jika mereka memandang ke kiri dan kanan dan menyedari kualiti pemain yang mereka ada dalam bilik persalinan, dan apa yang paling penting, mereka menyukai sesama mereka, ia banyak membantu.

"Ia bukanlah perkara terpenting tetapi ia banyak membantu.

"Mereka mahu menggunakan peluang yang diberikan kelab ini dan saya amat gembira tentang itu, amat-amat gembira," katanya.

Liverpool memenangi keempat-empat perlawanan pertama musim ini sebelum waktu rehat antarabangsa dan sedang bersedia untuk melayani kunjungan Newcastle United di Anfield malam ini.

Jika mereka dapat mengelakkan kekalahan, mereka akan meneruskan rekod tanpa kalah kepada 43 perlawanan berturut-turut.

Klopp tidak mahu pemainnya memikirkan tentang rekod tersebut dan menyeru mereka agar mengekalkan aksi seperti yang dipamerkan ketika menewaskan Arsenal 3-1 bulan lalu.

"Semua pasukan mampu (menewaskan kami), namun dalam setiap perlawanan, kami lebih baik dan layak memenangi tiga mata ataupun seri.

"Jadi ia bagus, namun apa yang saya pentingkan ialah tentang bagaimana kami boleh mengulangi prestasi ketika menentang Arsenal kerana daripada segi sikap, ia di tahap yang tinggi, tahap tertinggi secara jujurnya.

"Itulah yang kami perlu lakukan sekali lagi, bukan memikirkan tentang apa yang berlaku dua setengah tahun lalu," tambahnya.