Jurgen Klopp bersetuju dengan sesetengah pendapat bahawa Mohamed Salah bakal muncul antara pemain terbaik dunia, namun menolak untuk membandingkan anak buahnya itu dengan Lionel Messi.

Bintang skuad kebangsaan Mesir itu menjaringkan empat gol dalam kemenangan 5-0 ke atas Watford di Anfield semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya kepada 28 pada musim pertama bersama The Kop.

Sejak kembali ke England dari AS Roma pada musim ini, dia pantas memberikan impak besar kepada skuad kendalian Klopp sehingga membuatkan seorang wartawan mula menempatkannya sebaris dengan Messi.

“Ya, saya rasa Salah bakal muncul antara pemain terbaik dunia.

“Ia bagus tetapi saya tidak rasa Salah atau sesiapa sahaja mahu dibandingkan dengan Messi. Messi mencipta sesuatu yang dilakukan seperti dalam 20 tahun. Pemain terakhir yang memberikan kesan sama sepertinya adalah legenda Argentina, Diego Maradona,” kata Klopp.

“Salah berada di tahap terbaik, itu memang pasti tetapi jika anda memiliki kebolehan, anda harus tunjukkannya sepanjang masa secara tetap.

“Tahap konsisten yang dipamerkannya sangat bagus kerana ia membantu kami. Semua pemain gembira beraksi bersamanya.”

“Dia telah menjawab segala persoalan dengan empat jaringan. Jika ada yang bertanya pendapat saya mengenainya, ia adalah istimewa.

“Kami telah menampilkan satu lagi aksi hebat dalam perlawanan yang sukar tetapi dapat menanganinya.

“Semua orang bertungkus-lumus tetapi Salah tidak. Sebab itu, anda perlu berada di tahap terbaik,” tambahnya.