LIVERPOOL 3 SOUTHAMPTON 0

Jurgen Klopp tampil memohon maaf selepas mendedahkan pemain pertahanan Liverpool, Alberto Moreno, terlepas menyaksikan kelahiran anak keduanya dalam kemenangan 3-0 skuad The Reds ke atas Southampton di Anfield, lewat malam tadi.


Mohamed Salah menjaringkan dua gol untuk meletakkan Liverpool pada kedudukan selesa sebelum Philippe Coutinho menambah satu lagi gol dalam separuh masa kedua.

Walaupun Salah dan Coutinho yang banyak mendapat penghargaan, Moreno -- yang beraksi baik musim ini selepas kempen sukar pada 2016/17 -- utuh di belakang, dan Klopp lantas mengulas mengenai ketidakhadirannya semasa kelahiran anaknya.

"Pada jam 2.30 pagi ini (waktu England), teman wanitanya melahirkan bayi -- Alberto Moreno Jr dilahirkan di Liverpool," kata Klopp kepada laman web Liverpool.

"Dia berada di hotel (pasukan) ketika anaknya dilahirkan... maaf kepada teman wanitanya!"

Liverpool yang kini hanya ketinggalan satu mata di belakang skuad di tangga keempat, Tottenham, mendominasi perlawanan itu dan Klopp gembira dengan prestasi keseluruhan pasukannya.

"Ini adalah perlawanan yang sukar, Southampton adalah pasukan bola sepak yang sangat bagus. Ia adalah perlawanan terbuka, kami mempunyai banyak peluang sebelum menjaringkan gol," katanya.

"Kami perlu berkembang daripada pengalaman kami. Sepanjang musim ini, kami memiliki banyak perkara penting -- kami bermain dengan semua jenis pasukan dan semua jenis gaya. Hanya ada satu perlawanan yang benar-benar buruk, iaitu menentang Tottenham .

"Prestasi hari ini kelihatan lebih matang dan ia sangat penting bagi kami. Kami boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi ia adalah hari yang sempurna untuk kami," tambahnya.

Jurulatih Southampton, Mauricio Pellegrino, mengakui bahawa pasukannya -- yang memenangi hanya satu daripada tujuh perlawanan terakhir mereka -- harus mencari cara untuk mengubah keputusan pasukannya.

"Kami tahu bahawa kami berada dalam masa yang sukar daripada segi keputusan," kata Pellegrino kepada laman web rasmi kelab itu.

"Pada saat-saat ini, kami perlu menunjukkan karakter kami."