Jurgen Klopp berkata Liverpool masih berusaha mendapatkan pemain baru tetapi tidak akan berbelanja sewenang-wenangnya.

Liverpool membuat pelaburan besar untuk musim 2018 dengan menandatangani Virgil van Dijk, Alisson, Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri.

Menjelang musim 2019-20, The Reds hanya memancing pertahanan remaja, Sepp van den Berg, daripada PEC Zwolle.

Penyerang Lille, Nicolas Pepe, dilaporkan menjadi sasaran untuk memantapkan skuad setelah mengungguli Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu, namun Klopp memberi isyarat mungkin tidak akan membawanya masuk untuk musim baru.

"Ia bukan mudah," kata Klopp kepada Liverpool Echo.

"Tahun lalu, saya pernah berkata bahawa untuk memperbaiki pasukan bukannya mudah dengan berbelanja secara munasabah. Tetapi dengan peruntukan yang gila, anda sentiasa boleh melakukannya -- baiklah, jika anda membayar dengan harga yang tinggi, maka itu adalah satu kemungkinan.

"Kami bukanlah kelab yang gemar berbelanja besar. Kami tidak akan berbuat demikian. Meskipun kami mempunyai sumber dana yang besar, kami tidak semestinya mengikut cara pasukan lain berbelanja.

"Begitupun, kami tidak perlu berbelanja besar. Kami perlu mencari jalan penyelesaian ketika dalam saingan. Ya, kadang-kadang kami mendapat jalan penyelesaian dalam pasaran perpindajan dan kami telah melakukannya.

"Saya tidak perlu menamakan sebarang pemain kerana semua orang mengetahuinya. Kami perlu mencari jalan penyelesaian dalam sesi latihan dan itulah yang kami lakukan ketika ini.

"Kami masih memantau pasaran pemain tetapi ia tidak akan menjadi perpindahan termahal. Kami akan lihat apa yang boleh dilakukan dan jika kami tidak melakukan apa-apa, itu mungkin atas alasan yang berbeza.

"Ia mengenai soal menggunakan pasukan ini sepenuhnya. Dalam jendela perpindahan ini, anda perlu membina sebuah pasukan yang anda fikir boleh mencabar pada musim ini dan saya sudah mempunyai elemen itu.

"Jika kami boleh membawa masuk pemain lain untuk memantapkan skuad, maka kami akan lihat tetapi jika tidak, pasukan ini sudah bersedia dan sekali lagi kami perlu mencari jalan penyelesaian pada masa yang berbeza."

Liverpool juga mengesahkan kecederaan yang dialami Yasser Larouci dalam aksi pra-musim ketika menentang Sevilla tidak serius.

Larouci menerima terjahan keras daripada pertahanan, Joris Gnagnon, yang dibuang padang dan kemudian meminta maaf di media sosial.

Dalam satu kenyataan, Liverpool berkata: "Larouci mengalami lebam teruk di tulang femurnya dan pasukan perubatan kelab akan terus mengawasi kecederaannya. Namun, The Reds optimis pemain berusia 18 tahun itu hanya perlu berehat selama beberapa minggu. "

Liverpool akan meneruskan persiapan mereka untuk menghadapi musim baru dengan menguji Sporting CP di Stadium Yankee, pagi esok (8.05 pagi waktu Malaysia).