Jurgen Klopp menggesa Liverpool membuktikan bahawa dia telah melakukan keputusan tepat untuk mengekalkan skuadnya selepas tenggelam dalam jendela perpindahan kali ini.

Juara Eropah itu hanya menambah tiga pemain -- pemain muda, Sepp van den Berg dan Harvey Elliott, dan penjaga gol simpanan, Adrian -- ke dalam pasukan mereka.

Klopp, yang pasukannya akan bertemu Norwich City dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris awal pagi esok, berharap Liverpool akan membuktikan ketepatan pilihannya untuk mengekalkan barisan bintang mereka musim ini.

"Pasukan besar akan kekal bersama bagi tempoh yang lama," kata pengendali berbangsa Jerman itu kepada akhbar United Kingdom.

"Saya sentiasa fikirkan bahawa ia masuk akal untuk mengekalkan pasukan ini, namun kami perlu membuktikannya.

"Jika kami membawa masuk pemain baru, mereka akan bertanya, 'selepas beraksi seperti itu musim lalu, anda membuang sebahagian daripada mereka?'" katanya.

Di kala memenangi Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool hanya kekurangan satu mata kepada Manchester City untuk menjuarai Liga Perdana.

Klopp percaya pasukan gergasi Liga Perdana itu perlu mengelakkan perubahan drastik setiap musim sambil mengambil contoh pasukan-pasukan yang berjaya sebelum ini.

"Pasukan-pasukan besar sebelum ini -- dan saya tidak fikir kami adalah pasukan besar, namun ia akan ditentukan dalam beberapa tahun lagi -- mereka kekal bersama untuk beberapa tahun.

"Mereka tidak memerlukan banyak perubahan.

"Saya tidak membandingkan kami dengan Barcelona pada lima, enam atau tujuh tahun lalu, namun mereka kekal bersama.

"Pemain baru masuk dan bergelut, jadi hanya pemain sama diturunkan.

"Man United mempunyai 'class of 92'. Berapa lama mereka kekal bersama?

"Mereka melakukan sedikit perubahan selepas (Eric) Cantona semakin tua dan membawa masuk Van the Man (Ruud van Nistelrooy) atau sesiapa sahaja.

"Anda tidak perlu berubah sepenuhnya.

"Kami pasukan yang amat baik ketika bersama dalam liga yang amat sukar dengan pelbagai pesaing yang terdesak mahu memintas kedudukan kami.

"Tiada siapa tahu bagaimana ia akan berlaku, namun Ahad lalu (tewas kepada City dalam penentuan Perisai Komuniti) membuktikan kami akan baik-baik sahaja dan selebihnya terpulang kepada usaha kami," katanya lagi.