Jurgen Klopp meletakkan kepercayaan kepada Loris Karius sebagai penjaga gol pilihan bagi aksi seterusnya, bagaimanapun mahu pemain berusia 24 tahun itu mempamerkan persembahan terbaik.

Klopp mendedahkan selepas melakar kemenangan 4-3 ke atas City bahawa Karius adalah pilihan utamanya bagi menghadapi baki musim ini walauapun persembahannya ketika berdepan City dilihat agak goyah.

Pengurus itu, bagaimanapun, terus meletakkan kepercayaan kepada Karius, malah mengharapkan peningkatkan dalam mutu permainannya menjelang pertemuan dengan Swansea City.

"Karius mampu menidakkan gol pertama (ketika bertemu City) walaupun saya mengganggap ia merupakan sentuhan penyudah yang berkualiti daripada Leroy Sane," kata Klopp.

"Dia merupakan seorang penjaga gol yang baik dan kami membawanya ke Anfield kerana dia mahu beraksi. Terdapat beberapa kesukaran tetapi dia sudah mula membiasakan diri.

"Bagaimanapun, Karius perlu meningkatkan kualiti permainannya. Buat masa ini, dia adalah pilihan nombor satu saya untuk perlawanan akan datang," ujarnya.